Hilang

Hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASUK hari ini, sudah 13 hari Pak Uda hilang. Telah segenap pelosok kampung, termasuk dua kampung berdekatan telah diredah untuk mencari Uda. Pasukan Penyelamat turut dijemput bagi membantu pencarian yang kini dianggap makin misteri. Pak Uda hilang ketika berada di belakang rumahnya pada waktu lewat petang.

Menurut kata Che Semah, isterinya, selepas minum petang, suaminya turun ke belakang rumah untuk melihat beberapa ekor kambingnya yang tidak berhenti-henti mengembek, dikhuatiri terbelit tali antara satu sama lain.

Sehinggalah azan Maghrib berkumandang. Pak Uda masih tidak muncul-muncul juga. Usai solat Isyak, Che Semah bersama dua anaknya, Putera dan Qalisha bergegas ke rumah Tok Mahat, Ketua Kampung Kubang Panjang, menyampaikan berita kehilangan suaminya itu.

Putera dan Qalisha sejak malam kehilangan telah berusaha menelefon saudara mara terdekat, bertanyakan kalau-kalau ayah mereka berada di mana-mana lokasi tertentu.

Usaha mencari Pak Uda bermula sejak tengah malam itu juga sehinggalah ke hari ini. Namun, usaha yang dilakukan setakat ini masih belum berhasil. Kehilangan Pak Uda mula menimbulkan pelbagai spekulasi.

Ramai mengatakan Pak Uda diculik. Sebahagian penduduk kampung menganggap teori ini serius apabila melihat latar belakang Pak Uda sendiri sebagai seorang broker tanah.

Namun, pihak berkuasa menolak tuduhan tersebut, apabila kehilangan Pak Uda telah melebihi 10 hari.

Menurut pihak Polis, adalah tidak munasabah, penculikkan berlaku tanpa apa-apa tuntutan daripada pihak yang melakukannya dalam tempoh tersebut.

Dari sehari ke sehari, kehilangan Pak Uda makin berbelit dengan pelbagai teori yang diperkatakan. Pihak berwajib meminta semua pihak agar tidak membuat andaian dan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan. Penyiasatan akan akan dilakukan dari pelbagai sudut.

Air mata Che Semah sudah kering. Meratapi kehilangan suaminya tidak lagi dengan linangan air mata, tetapi dengan fikiran yang kusut dan buntu.

“Mak, adik tengok mak tabah saja sejak ayah hilang, sepatutnya sampai hari ini pun, mak kena dalam keadaan sama. Mak tak boleh mendera diri macam ini.” Pujuk Putera setelah beberapa hari melihat ibunya mula menjadikan air sejuk sebagai pengalas perut tanpa menjamah apa-apa makanan.

“ Betul tu mak, kita pun sudah banyak ikhtiar untuk cari ayah.” Tambah Qalisha pula. Tubuh ibunya yang kian lemah itu dipeluknya, berjurai lagi air mata. Membasah pipi, membasahi hati.

Putera dan Qalisha pun makin keliru dengan apa yang menimpa ayah mereka..

“Kalau bukan kena culik, ayah bersembunyi di mana ini kak?” Tanya Putera.

“Entahlah dik, akak pun buntu. Ada juga orang kampung cakap mungkin ini perbuatan makhluk halus!” Balas Qalisha.

“Makhluk halus?” Terbeliak mata Putera mendengar kata-kata kakaknya itu.

Pak Uda memang tidak ada kerja tetap. Selain, AJK parti, dia telah lama bergelar broker tanah, selain kerja-kerja sampingan lain seperti menjual ubatan herba dan turut menjadi wakil kepada beberapa agensi dan syarikat yang menganjurkan pakej umrah dan ziarah.

Beberapa kali juga Putera menegur ayahnya itu yang tidak menghadiri mesyuarat jawatankuasa Kariah masjid mukim kerana sibuk dengan urusan jualan tanah di banyak tempat.

Usai solat berjemaah di surau, Imam Kassim telah beberapa kali mengingatkan dia agar menyatakan jemputan itu kepada ayahnya.

“Ayah kamu itu, sejak akhir-akhir ini sibuk memanjang. Pasal broker tanah ke, ke sibuk cari jemaah umrah?.” Tanya Imam Kassim.

“Ayah tu macam itu lah Pak Imam, sibuk memanjang. Dua-dua sekali..” balas Putera.

Pak Imam hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Pagi Isnin itu, suasana riuh menyelubungi kampung Kubang Panjang. Gempar kerana Cikgu Zairi yang datang tergesa-gesa ke rumah Tok Mahat, memberitahu anaknya melihat Pak Uda dalam rumpun buluh dekat jalan arah ke sungai.

Bersama-sama pihak polis, Che Semah, Putera, Qalisha dan beberapa AJK kampung segera menuju ke destinasi yang dinyatakan. Meraung Che Semah apabila melihat jasad Pak Uda sedang bersandar pada sebatang buluh besar dalam keadaan amat tidak bermaya.

Pak Uda terus dibawa ke hospital. Masuk hari keempat berada di wad, Che Semah memohon untuk dibawa suaminya itu ke rumah. Walaupun kesihatan semakin stabil, tetapi fikiran Pak Uda masih tidak tenang.

Cakap-cakap orang kampung bahawa Pak Uda disembunyi hantu dan makhluk halus bertebaran di merata-rata tempat. Ada mengatakan, kejadian itu memang patut berlaku kerana Pak Uda dikenali sebagai seorang yang suka buat hal sendiri, tidak mendengar nasihat, tidak amanah dan materialistik.

Beberapa hari selepas dibawa pulang ke rumah, Pak Uda mula bercakap seorang diri, sesekali akan dihambur kemarahan kepada sesiapa yang agak lama berkomunikasi dengannya. Melihat perubahan ketara suaminya itu, Che Semah hanya mampu menitip airmata.

Pihak polis pula bercadang untuk menutup kes, kerana tiada unsur jenayah dalam kehilangan Pak Uda tempoh hari. Beberapa orang saksi yang dipanggil sebelum ini didapati tidak dapat dikaitkan dengan kehilangan tersebut.

“Isya hairanlah mak , macam mana boleh berterabur geran tanah ada di sekeliling ayah dalam rumpun buluh tu?”

“Adik pun pelik kak, mak. Bila pula ayah bawa geran tu sampai hilang dengan dia-dia sekali. Semalam tiga orang tuan tanah datang marah-marah bertanyakan pasal geran tu. Tak masuk lagi yang datang paksa ayah pulangkan balik duit deposit untuk pakej umrah yang entah bila ayah ambil,” sambung Putera.

“Ayah itu kan orang tengah saja bang. Sampai pegang-pegang geran buat apa?” Persoalan Qalisha didiamkan Putera begitu saja.
Sebagai bekas pelajar sekolah agama hingga memperolehi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Putera sedikit sebanyak ada pengetahuan tentang had-had hukum seorang broker tanah.

“Ayah ambil sampai dua ribu komisyen?” Kata Putera suatu petang, bila melihat ayahnya sibuk mengira not 50 yang tersusun di atas meja makan.

“Alah, Ayah ambil sikit je tu. Broker lain banyak lagi. Tak apalah kerja ayah memang begini. Kamu pun tahu kan, hasil kerja ayah inilah yang bantu keluarga kita selama ni. Kamu tu nak masuk kolej Islam tak lama lagi, nanti banyak hendak pakai duit tu..” Balas Pak Uda.

Putera masih ingat benar kata Ustaz Fahim dalam subjek Fekah ketika dia berada di Tingkatan Enam dahulu. Dalam bab Muamalat pelbagai cabang hukum mengikut pendekatan Islam akan dihuraikan.

Kata ustaz Fahim, aktiviti as-Samarah atau orang tengah, bukan hanya dilihat kepada persepakatan antara pemilik tanah sahaja. Namun yang lebih penting aspek kepatuhan kepada rukun jual-beli. Ianya perlu terhindar dari sebarang unsur yang ditegah Syarak seperti unsur judi, riba, gharar, khidmat haram dan sebagainya.

Walaupun dibenarkan Salafus soleh, kata ustaz Fahim, di sisi Mazhab Shafie, akad jualan antara pemilik dan seorang broker tanah menjadi tidak harus kerana adanya unsur gharar dan jahalah, iaitu aspek ketidakpastian dan ketidakjelasan dalam akad, di mana orang tengah tidak dinyatakan berapa upah atau komisyen yang boleh diperolehnya.

Mazhab Shafie sendiri menurut ustaz Fahim lagi, melarang dari orang tengah meletakkan akad upah, kerana sepatutnya tidak harus berlaku kerana ketidakpastian tadi.

“Mak fikir eloklah kita kembalikan semua geran tu pada tuan-tuan tanah itu dik.” Dalam fikiran buntu, keluar saja kata-kata itu dari bibir Che Semah.

“Itulah jalan terbaik mak. Tapi, mak tengoklah ayah tu, semua geran tanah diletakkan bawah tilam dia. Adik tengok sudah berlipat dan bergumpal geran-geran itu. Bila ditanya mulalah bising ayah tu.” Balas Putera. Che Semah kembali membatu.

Sejak dibawa balik ke rumah, selain penduduk kampung, ramai juga yang hanya datang membawa perasaan marah, tidak puas hati dan seperti mengugut. Dalam keadaan fikiran tidak menentu,

Pak Uda dilihat selalu meninggikan suara, memekik-mekik, menghalau orang yang datang tanpa perasaan malu walaupun di depan ahli keluarga sendiri.

Empat penduduk kampung Endong datang merungut-rungut depan Pak Uda pasal duit pendahuluan untuk pakej umrahnya yang hilang dalam tangannya. Wang itu dikatakan tidak sampai kepada agensi walaupun tarikh penerbangan tinggal beberapa hari saja lagi.

“Apabila masa pula aku ambil duit kamu? Betul ke kamu hendak pergi Mekah. Betul ke itu duit kamu. Pergi…pergi!!” Laung Pak Uda dengan pelbagai persoalan yang tidak masuk akal.

Walaupun ditenangkan Che Semah, ada mangsa yang mulai bosan dengan sikap Pak Uda hingga mengugut untuk membuat laporan polis. Putera sendiri dalam situasi begitu telah menyatakan kesanggupannya untuk berusaha membayar balik mana-mana wang pendahuluan yang diambil oleh ayahnya itu.

“Ayah itu pun satu bang, mudah sangat dia percaya kepada wakil agensi umrah yang datang kampung kita dulu. Tengok orang lagak alim sikit sanggup terima amanah. Ramai sangat yang sudah kena tipu dengan agensi yang tawarkan pakej umrah ini mak.” Tukas Qalisha pula.

“Isya tak faham lagi perangai ayah tu, hendak buat sesuatu mana berbincang dengan kita semua dalam rumah ini. Patutnya, ayah kena juga rujuk pada Tok Mahat atau Tok Imam sebagai pemimpin dalam kampung kita ini,” tambah Putera

“Orang kampung ini semuanya penipu. Mana aku ada hilang, aku hanya duduk di tepi sungai tu. Tiba-tiba ada orang bawa aku duduk dalam rumpun buluh yang lapang tu. Aku tidak ke mana pun. Alih-alih buat cerita cari aku.

“Tetapi dalam ramai-ramai itu, seorang pun tak endahkan aku, walaupun aku panggil berkali-kali. Aku tak dapat bangun, tak boleh berdiri masa tu.” Pak Uda tiba-tiba meninggikan suara. Kisah kehilangannya mula diungkit kembali.

“Ayah, sudah-sudahlah tu. Bersyukurlah sebab ayah masih selamat dan dapat balik ke rumah. Orang kampung kita telah banyak berkorban masa, tenaga untuk cari ayah merata tempat.” Ujar Putera.

Seminggu berlalu, walaupun kesihatan Pak Uda dalam keadaan stabil, namun dengan selera makan yang berkurang, badannya menjadi longlai dan tidak bermaya.

Pun begitu, lontaran suaranya tetap kuat. Adakalanya mengherdik, menengking dan menghambur kata-kata yang bukan-bukan kepada sesiapa sahaja yang dikira boleh mengundang kemarahannya.

Apabila bercakap pasal wang, Pak Uda akan terdiam seketika, kemudian bersedih. Tidak lama selepas itu, dia akan mula menengking dan menyalahkan orang lain. Mak Uteh Jeha dari kampung

Endong menangis teresak-esak apabila Pak Uda menghalaunya sewaktu dia bertanyakan berkaitan wang pendahuluan pakej umrahnya yang diambil Pak Uda beberapa minggu sebelum kejadian kehilangannya itu.

Petang Jumaat itu cukup redup. Ramai penghuni kampung yang sedang berehat-rehat seketika usai solat Jumaat dan makan tengah hari. Tok Mahat, Ketua Kampung Kubang Panjang yang bersantai dianjung rumahnya, tiba-tiba dikejutkan dengan laungan Putera dari laman rumah.

“Tok, Tok…er…ayah saya hi..hilang lagi.” kata Putera, nafasnya tercungap-cungap.

“Apa? Hilang lagi ayah kamu?”

“Bukan…bukan hilang Tok…”

“Apa kamu ini Putera…sekejap hilang, sekejap tidak. Cuba kamu bertenang. Apa hal sebenarnya ini?” Kata Tok Mahat cuba menenangkan anak muda di depannya itu. Dadanya sendiri mula berdegup kencang.

“Ayah..ayah..ayah dah hilang…hilang suara Tok..” Terpacul suara dari mulut Putera, sambil segera terduduk di depan Tok Mahat.

“Hah? Hilang…hilang suara? Astaghfirullahal azim…”- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya