URA bukan agenda DAP, sudah bermula zaman PN - Utusan Malaysia

URA bukan agenda DAP, sudah bermula zaman PN

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) telah bermula pada tahun 2021, ketika Perikatan Nasional (PN) menerajui negara selama 30 bulan.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, ini bermakna ia bukan undang-undang baharu dan tidak mungkin ia agenda DAP kerana ia telah bermula ketika pentadbiran PN sendiri.

Menurutnya, pada waktu itu tidak kedengaran kritikan atau bantahan terhadap undang-undang berkenaan daripada pemimpin PN.

“Tetapi setelah mereka tidak menjadi kerajaan. lain pula sikap mereka. Pelbagai dakwaan karut mereka sebarkan, kononnya undang-undang ini akan meminggirkan golongan Melayu.

“Bagaimana mungkin ia agenda DAP sedangkan ia telah bermula ketika pentadbiran PN sendiri.

“Dan tidak mungkin untuk DAP untuk mendominasi agenda ini kerana DAP hanya ada empat orang ahli dalam Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi berkata, dakwaan URA bakal menindas golongan Melayu bandar menunjukkan pembangkang telah berubah wajah menjadi parti yang condong kepada asabiyah dan ekstremisme kaum.

Katanya, peranan Pembangkang yang sepatutnya menjadi agen semak dan imbang dalam Dewan perundangan kian kabur dan sudah menjadi barisan politik yang bersifat rasis dan berhaluan kanan apabila membuat berita palsu tentang undang-undang berkenaan.

“Setiap langkah kerajaan dilihat dari lensa perkauman dan anehnya dasar dan tindakan yang sama oleh mereka di negeri-negeri yang mereka perintah sebagai contoh tidak pula dilihat demikian.

“Pendekatan rasis ini sekali dipaparkan dengan jelas oleh para pemimpin PN dalam isu URA dengan pelbagai dakwaan karut sebarkan, kononnya undang-undang ini akan meminggirkan golongan Melayu malah menuduh kerajaan akan menggunakan undang-undang ini untuk merampas harta golongan miskin.

“Kita sedar PN akan sentiasa menggunakan lensa perkauman sempit mereka untuk mengada-adakan kesan anti Melayu dan anti Islam dan agenda DAP. Mereka tidak akan berhenti menyebarkan berita palsu tentang undang-undang berkenaan,” katanya.

Menurutnya, URA merupakan rang undang-udang (RUU), hanya akan dibentangkan dalam sesi Julai 2025 ini dan masih dihalusi oleh Kamar Peguam Negara dan kemudian diteliti oleh Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di parlimen.

“Mengenai dakwaan merampas harta orang miskin dan seumpamanya, para pemimpin PN seolah-olah tidak sedar bahawa hak terhadap harta dijamin oleh Perlembagaan dan ini telah dibuktikan oleh banyak kes mahkamah.

“Apa pun PN sepatutnya menunggu terlebih dahulu, sekiranya benar ada penindasan dan perampasan hak rakyat, kerajaan bersedia untuk dibawa ke mahkamah.

“Kerajaan menyeru rakyat yang prihatin dengan pembangunan yang lestari dan telus agar memahami perkara ini dan tidak termakan dengan fitnah dan pembohongan PN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya