PETALING JAYA: Semua syarikat di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dilaporkan mencatatkan prestasi tadbir urus dan kewangan yang baik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu menerusi pembentangan Kumpulan Mara Corp dan Kumpulan Pembangunan Mara dalam Program Pemukiman Syarikat Mara, semalam.
Katanya, syarikat di bawah Mara juga menunjukkan prestasi yang baik dalam kejayaan memacu agenda Bumiputera dan pemerkasaan pembangunan desa.
“Semasa memberikan ucapan penutupan, saya mengulangi pesanan yang sering saya ungkapkan, ‘untuk berjaya itu sukar, namun, untuk mengekalkan kejayaan itu, jauh lebih sukar’.
“Dengan itu, hanya usaha yang berterusan diiringi komitmen, keazaman dan disiplin yang tinggi sahaja dapat memastikan kejayaan yang telah dilakar terus kekal dalam dakapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Justeru, beliau berharap semua syarikat Mara dapat terus mengekalkan momentum bagi menjayakan baki Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tahun ini.
“Semoga syarikat-syarikat ini terus mencipta kejayaan berterusan serta memenuhi visi, misi dan matlamat penubuhan syarikat masing-masing,” katanya.-UTUSAN