Ketamakan kuasa, masyarakat berpecah-belah dan bermusuhan sehingga memakan diri merupakan antara pengajaran daripada teater purbawara Batu Belah.
Naskhah itu turut mengangkat kasih sayang keluarga, hubungan baik antara adik dan kakak di samping perjuangan mempertahankan Desa Kerayong.
Pementasan oleh Pertubuhan Pencinta Teater Himpunan Dayacipta Selangor dan Kuala Lumpur (Teater Hidayah) itu berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) baru-baru ini.
Pengarahnya, Yusry Kamaruzaman berkata, teater itu hanyalah purbawara iaitu drama sebabak dan tidak mengambil keseluruhan filem Batu Belah Batu Bertangkup.
“Dalam purbawara ini kita hanya mengambil beberapa babak sahaja daripada filem klasik itu.
“Kita boleh lihat suatu keadaan yang masih berlaku sehingga kini seperti tamak kuasa, masyarakat berpecah-belah serta bermusuhan sehingga memakan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pementasan teater itu menampilkan pelakon popular, Datuk Jalaluddin Hassan sebagai sultan diikuti Zack Kool, Lan Zailan dan pempengaruh silat seperti Panglima Aduka serta Mellisa Kelvin.
Kata Yusry, pementasan itu melibatkan hampir 70 orang tenaga produksi dan kreatif serta pelakon.
“Alhamdulillah perjuangan merealisasikan teater ini berjaya juga walaupun menempuhi pelbagai cabaran dan latihan selama tiga bulan sejak Mei lalu,” katanya.
PENGLIBATAN GENERASI MUDA
Ramai anak muda yang tidak tahu tentang teater dan bagaimana persembahannya.
Sehubungan itu, Yusry dan tenaga produksi menggalakkan penglibatan generasi muda terutama murid sekolah.
“Kita yakin jika anak-anak muda pertama kali menonton teater barangkali akan datang lagi untuk menyaksikannya.
“Oleh itu, bagi menarik golongan sasar kepada bidang teater kita perlu mendedahkan mereka dengan bengkel lakonan dan beri peluang memegang watak.
“Misalnya watak Pekan sewaktu kecil dilakonkan oleh Yamin Hanif, 11, yang pertama kali melibatkan diri dalam teater.
“Daripada seorang yang tidak tahu berdialog, masih rasa segan tetapi kami latih dan bentuk dia untuk membiasakan diri dengan khalayak sebagai pelapis teater,” ujarnya.
DARIPADA KREW KEPADA PENGARAHAN
Berkongsi pembabitannya dalam bidang teater, kata Yusry, ini adalah teater keenam di bawah arahannya sejak 2016.
“Saya bermula sebagai krew pentas pada 2012, kemudian belajar mencari pengalaman dalam produksi. Saya tidak pernah ke kelas lakonan atau pengarahan tapi memilih untuk belajar ilmu secara ‘curi dan dengar’ .
“Daripada situlah saya belajar hingga mampu terlibat dalam pengarahan,” tuturnya.
Beliau turut berharap semua generasi dapat mengambil pengajaran melalui kisah duka dan indah daripada teater purbawara Batu Belah. -UTUSAN