Mahkamah benar SPRM reman suspek guna Seksyen 117 KTJ - Utusan Malaysia

Mahkamah benar SPRM reman suspek guna Seksyen 117 KTJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) bagi kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.

Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu terhadap permohonan semakan yang difailkan SPRM ekoran tindakan Mahkamah Majistret Johor Bahru, R. Salini pada 15 Mei lalu yang menolak permohonan reman terhadap dua suspek yang ditahan SPRM.

Justeru, SPRM memfailkan permohonan semakan pada 15 Jun lalu selepas majistret yang mendengar permohonan reman di bawah Seksyen 117 KTJ itu memberi alasan bahawa SPRM gagal mematuhi peruntukan Seksyen 49, Akta SPRM 2009.

Dalam membuat keputusan reman itu, majistret telah mengguna pakai keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh dan berpendapat terdapat kecacatan dalam siasatan dibuat SPRM.

Sehubungan itu, Abu Bakar memberitahu, Majistret yang medengar permohonan reman SPRM itu memindanya hanya tertumpu kepada Mahkamah Tinggi Temerloh tanpa menimbangkan langsung nas duluan dalam kes Mahkamah Tinggi yang lain.

“Mahkamah berpendapat peruntukan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 juga perlu dibaca secara harfiah kerana tujuan Parlimen menggubal Akta SPRM 2009 adalah bagi menangani gejala rasuah, maka akta ini tidak boleh dibaca secara rigid sehingga menjejaskan atau menggagalkan proses siasatan SPRM.

“Mahkamah juga berpendapat SPRM ketika menjalankan siasatan boleh memohon reman di bawah peruntukan Seksyen 117 KTJ. SPRM diberi kuasa yang luas memilih peruntukan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 atau memohon reman di bawah peruntukan Seksyen 117 KTJ,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundangan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberi ‘kemenangan’ kepada agensi itu dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru memberi penjelasan penting tentang pemakaian undang-undang berkenaan reman dan secara jelas SPRM sebenarnya tidak terikat dengan Seksyen 49 Akta SPRM 2009 seperti keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh.

“Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini sudah membincangkan tentang pemakaian KTJ yang dari awal sebenarnya proses siasatan SPRM membenarkan kita menggunakan peruntukan Seksyen 29 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 117 KTJ itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi, di sini.

Justeru, Wan Shaharuddin berharap selepas ini majistret akan melihat lebih mendalam dan menyeluruh tentang keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru dalam membenarkan permohonan reman terhadap suspek.

“Ramai majistret kata mereka terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi Temerloh, saya tidak kata ia salah, tetapi apa kami mahukan adalah pemahaman tentang undang-undang itu diguna pakai bukan hanya sebaliknya mengikut sahaja apa-apa keputusan. Kita juga berharap selepas ini SPRM dapat jalankan siasatan dengan lebih teliti dan lengkap dengan tiada lagi masalah pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya