MANCHESTER: Manchester City meraikan kejayaan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) kali ketiga berturut-turut dengan kemenangan ke atas Chelsea dalam suasana pesta yang santai di Stadium Etihad.
City disahkan sebagai juara tanpa bermain selepas kemenangan Nottingham Forest menentang Arsenal kelmarin, membolehkan pengurus Pep Guardiola melakukan sembilan pertukaran daripada pasukan yang membelasah Real Madrid untuk mara ke final Liga Juara-Juara.
Erling Haaland direhatkan tetapi Julian Alvarez membuktikan dia mampu mempamerkan penyudah terbaik untuk meletakkan City di hadapan selepas 12 minit, ketika peminat mereka gembira berjemur di bawah sinar matahari menunggu penyampaian trofi dan perayaan.
Chelsea mempunyai beberapa peluang yang lebih baik ketika permainan berlangsung, dengan penjaga City, Stefan Ortega menyelamatkan percubaan berbahaya Raheem Sterling selain tandukan Conor Gallagher terkena tiang.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menggembirakan ribuan peminat City yang bersedia meraikan pasukan kesayangan mereka untuk menjulang trofi buat kali ketiga berturut-turut.
“Sukar untuk percaya. Saya tak tahu nak cakap apa. Saya sangat gembira. Inilah kenangan yang akan saya ingat sepanjang hayat saya. saya tak tahu nak cakap apa.
“Ia istimewa. Saya akan menikmati hari ini. Ia adalah menakjubkan. Musim pertama dengan 36 gol, trofi Liga Perdana Inggeris dan dua lagi perlawanan akhir akan datang. Sangat mengujakan,” kata Erling Haaland.
Dalam pada itu, Jack Grealish berkata, dia gembira kerana berjaya memainkan peranan yang penting untuk membolehkan City menjulang trofi EPL pada musim ini.
“Ia berbeza bagi saya secara peribadi, saya telah memainkan lebih banyak peranan. Saya berasa kembali kepada diri saya yang normal.
“Musim lepas bagus kerana ia adalah yang pertama tetapi tahun ini ia sangat bagus kerana saya rasa saya telah memainkan peranan yang lebih penting.
“Saya bercakap dengan beberapa pemain tidak lama dahulu dan berkata bayangkan anda perlu menang 12 perlawanan berturut-turut untuk memenangi liga. Kami mempunyai begitu banyak bakat dan kami rasa tidak dapat dihalang.
“Saya berasa lebih yakin dengan pasukan ini. Saya berasa lebih cergas dan kembali kepada apa yang saya tahu, apa yang boleh saya lakukan. Inilah sebabnya City membeli saya dan saya mempunyai banyak tawaran.
“Ia masih belum berhenti, kami masih mempunyai beberapa perlawanan besar lagi. Terutama sejak rehat antarabangsa yang lalu, kami berasa tidak dapat dihalang dan kami sukar dipercayai,” katanya.-AGENSI