JIKA Romli Mahmud, 69, yang merupakan pewaris terakhir Awang Batil sudah tiada adakah kesenian berusia ratusan tahun yang cukup terkenal di negeri ini akan turut lenyap?.
Kebimbangan tersebut pernah dizahirkan Romli atau lebih mesra dengan panggilan Bang Li kepada Utusan Malaysia sebelum ini selepas melihat anak muda sudah tidak lagi berminat untuk mempelajari seni warisan berkenaan.
“Orang muda hari ini dilihat sudah tidak minat lagi belajar seni ini (Awang Batil). Ada yang cuba belajar tetapi tidak mampu menguasai kesenian ini. Bang Li kadang-kala susah hati juga sekiranya tidak ada lagi Awang Batil yang menghiburkan kita,” kata Romli dalam temu bual bersamanya kira-kira dua tahun lalu.
Untuk rekod, Romli, yang merupakan generasi kelima Awang Batil menjadi penglipur lara tersebut agak lewat ketika berusia 41 tahun pada 1997, iaitu 23 tahun selepas bapanya, Allahyarham Mahmud Wahid atau Pak Mahmud menamakan dia sebagai pewaris dalam sebuah persembahan di Kuala Lumpur sekitar tahun 1974.
Di usia emasnya, Romli juga telah diiktiraf sebagai ‘Orang Warisan’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) selain diisytihar sebagai Tokoh Orang Hidup 2015 oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada tahun berkenaan.
TERUS DIPERTAHANKAN
Bagi anak murid Romli, Megat Mohd. Noor Megat Teh, 55, dia yakin kesenian tersebut akan terus dipertahankan.
Pensyarah Jabatan Sosial Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Perlis itu juga dilihat individu paling berpontensi dan sesuai menjadi pewaris Awang Batil seterusnya mempertahankan kesenian itu daripada pupus ditelan arus pemodenan.
Pensyarah Pendidikan Muzik yang lebih mesra disapa cikgu Megat itu sudah lebih 20 tahun bersama dan mengikuti Romli termasuk di dalam persembahan-persembahan hikayat itu.
Megat Mohd. Noor berkata, dia mula bertemu seterusnya belajar kesenian tersebut dengan Romli yang juga gurunya dalam hikayat Awang Batil tersebut sejak tahun 2000 dan sering mengikuti beliau melakukan persembahan.
Katanya, dia berperanan sebagai pengapit kepada Romli selain sering diberi peluang bermain gendang dan menyanyi di dalam persembahan Awang Batil berkenaan.
Ujarnya, dia juga sudah menguasai main batil, menyanyi, gendang selain serba sedikit kemahiran bercerita hikayat berkenaan.
“Guru saya, Romli adalah satu-satunya Awang Batil yang ada bukan sahaja di negara ini malah satu-satunya di dunia. Kesenian tersebut perlu dipertahankan dan Insya-Allah saya akan berusaha mempertahankan kesenian ini agar tidak pupus ditelan arus pemodenan.
“Saya juga ada menulis empat ke lima kisah untuk persembahan Awang Batil ini dan tidak pernah berhenti belajar untuk menguasai persembahan kesenian berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Megat Mohd. Noor mencadangkan agar kandungan berkaitan kesenian Awang Batil dimasukkan di dalam silibus Pendidikan Muzik di peringkat sekolah sebagai salah satu usaha mempertahankan kesenian berkenaan.
Katanya, langkah tersebut penting supaya kesenian itu tidak dilupakan dan memberi pengetahuan kepada generasi baharu.
“Setakat ini, kandungan seperti kesenian dikir barat, boria, gamelan, mak yong dan sebagainya yang terdapat dalam silibus Pendidikan Muzik berkenaan. Di dalam silibus Pendidikan Muzik yang ada sekarang perlu dimasukkan sama Awang Batil.
“Awang Batil juga merupakan kesenian yang perlu diberikan perhatian supaya generasi muda mengetahui dan berminat mengenainya.
“Bagi mempertahankan kesenian tersebut ia juga perlu bermula dari akar umbi di peringkat sekolah-sekolah lagi bagi memupuk minat dan pengetahuan anak muda mengenai kesenian yang perlu dipertahankan itu,” katanya.
PERLU TERUS DIPROMOSIKAN
Tambah Megat Mohd.Noor, di peringkat negeri, promosi mengenai kesenian Awang Batil itu perlu diperbanyakkan lagi antaranya kesenian berkenaan boleh diselitkan di dalam program atau acara-acara di Perlis.
Seorang lagi anak didik Awang Batil, Mohd. Hafedz Halim, 48, pula berkata, kesenian tersebut perlu dipertahankan memandangkan ia merupakan kesenian negeri ini yang mempunyai sejarah yang cukup panjang.
Katanya, pada masa ini, dia berperanan sebagai pengapit Awang Batil selain mempunyai kemahiran bermain gendang dan bernyanyi.
“Pengapit Awang Batil ini akan ikut apa yang disuruh Awang Batil sama ada bermain gendang, bernyanyi atau sebagainya. Saya lihat cikgu Megat adalah individu paling sesuai dan layak menjadi pewaris Awang Batil.
“Insya-Allah Awang Batil ini tidak akan pupus ditelan zaman dan kita akan terus mempertahankan kesenian tersebut,” kata pemuzik di Pusat Kebudayaan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) itu. –UTUSAN
AWANG BATIL
**Kesenian yang cukup terkenal di Perlis itu menampilkan persembahan cerita-cerita rakyat berkisar kehidupan sedih dan lucu watak yang dikenali sebagai Awang Batil.
**Topeng, batil dan serunai adalah komponen penting dalam persembahan Awang Batil bagi menghidupkan jalan cerita yang turut diwarnai dengan dialog spontan, jenaka serta nyanyian.
**Pada asalnya, Awang Batil merupakan penglipur lara yang dikenali terlebih dahulu dengan nama Awang Belanga kerana menggunakan belanga sebagai muzik iringan.
**Dalam babak tertentu, Awang Batil akan memakai topeng bagi menceritakan watak sama ada hulubalang atau ahli nujum.
**Kebiasaannya, persembahan Awang Batil dijayakan semasa majlis perkahwinan malah dianggap satu kemestian dalam kalangan orang Perlis suatu ketika dahulu.
**Batil dan topeng yang digunakan oleh Romli dalam persembahan adalah barang peninggalan terdahulu berusia ratusan tahun.
**Cerita lazim disampaikan oleh Awang Batil ialah seperti Awang Akad Narak, Awang Kambing Berak Keluar Emas, Awang Golok Besar yang kesemua diselitkan dengan unsur komedi tetapi mengandungi nasihat.
**Cerita lain yang cukup popular seperti Raja Dewa Lok, Raja Bersiung. Raja Berdarah Putih, Anak Lang Pak Belang, Jabat Jabit, Abu Nawas dan Awang Ada Duit Semua Jadi.
**Berdasarkan mitos, Awang Batil berasal daripada kisah Awang yang dibenci masyarakat kerana lahir tanpa bapa. Ibu Awang, Mek Siti Galing, mengandungkannya setelah terminum air daripada lopak bekas kaki seekor gajah putih jadian.
**Dipulaukan masyarakat, Awang dibawa oleh gajah itu ke dalam gua untuk belajar bermain batil. Hasil kemahiran yang diperolehi itu, Awang menghiburkan orang ramai sehingga diterima kembali oleh masyarakat.