MANCHESTER: Pemilik Manchester United bersedia untuk menjual kelab berkenaan, selain mengesahkan Cristiano Ronaldo akan meninggalkan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Kontroversi berkaitan bintang Portugal di Old Trafford itu, kelihatan berakhir apabila United mengumumkan Ronaldo akan pergi berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman itu bagaimanapun dibayangi beberapa jam kemudian menerusi berita keluarga Glazer dari Amerika Syarikat (AS), yang memiliki United selama 17 tahun, mungkin akan ‘meninggalkan’ kelab itu.
“Lembaga pengarah akan mempertimbangkan semua alternatif strategik, termasuk pelaburan baharu ke dalam kelab, penjualan atau transaksi lain yang membabitkan syarikat,” menurut United dalam satu kenyataan.
Sejak Glazer memiliki kelab itu, prestasi di padang merosot apabila gagal memenangi kejuaraan EPL sejak 2013 pada tahun terakhir Alex Ferguson sebagai pengurus, selain peminat melakukan protes hampir sepanjang masa.
Lima pengurus datang dan pergi di Old Trafford dalam tempoh sembilan tahun terakhir namun mereka gagal untuk menghampiri kejayaan Ferguson.
Penyerang Portugal, Ronaldo mencetus bahang sensasi minggu lalu menerusi luahannya dalam temu ramah televisyen di TalkTV yang mana dia menyatakan berasa dikhianati oleh kelab itu serta tidak menghormati pengurus baharu Erik ten Hag.
Ronaldo turut mengecam keluarga Glazer, mendakwa mereka tidak peduli langsung mengenai kelab itu.
Dalam kenyataan terdahulu, United berkata: “Cristiano Ronaldo akan meninggalkan Manchester United menerusi persetujuan bersama berkuat kuasa serta-merta.
“Kelab ini mengucapkan terima kasih kepadanya atas sumbangan besar dalam dua tempoh karier di Old Trafford, menjaringkan 145 gol dalam 346 penampilan, selain mendoakan kejayaan dan kesejahteraan beliau serta keluarganya pada masa depan.”- AFP/Utusan