Zeti didakwa selalu terima kunjungan Jho Low - Utusan Malaysia

Zeti didakwa selalu terima kunjungan Jho Low

MUHAMMAD Shafee Abdullah hadir mewakili Najib Tun Razak pada perbicaraan penyelewengan dana 1MDB.-UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nama bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dipetik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana didakwa sering menerima kunjungan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low di kediaman beliau.

Perkara itu dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah bahawa pihak pembelaan mempunyai maklumat yang boleh dipercayai dan disertai bukti bahawa Jho Low sering mengunjungi Zeti Akhtar di rumahnya.

Beliau mencadangkan demikian ketika menyoal balas bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang pada perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Saksi pendakwaan ke-39 sebelum itu ditanya sama ada beliau pernah pada bila-bila masa melihat Jho Low di kediaman bekas Gabenor BNM itu di Bukit Tunku di sini.

Tek Kuang, 75, bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

Muhammad Shafee: Adakah pada bila-bila, ketika masa di rumahnya, anda berjumpa dengan Jho Low?
Tek Kuang: Tidak, tidak.

Muhammad Shafee: Anda pasti?
Tek Kuang: Sangat pasti.

Pada peringkat itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah, Zeti Akhtar akan dipanggil memberi keterangan bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

“Kami akan memanggil Zeti sebagai saksi pendakwaan dan soalan berkenaan boleh dikemukakan ketika soal balas. Beliau boleh menjawabnya,” ujar Sri Ram.

Dalam keterangannya, Tek Kuang menyatakan, beliau pernah mengunjungi majlis hari raya di kediaman Zeti Akhtar yang turut melibatkan kakitangan perbankan.

Semasa prosiding, Muhammad Shafee turut bertanya mengenai empat surat daripada Arab Saudi kepada Najib.

Minggu lalu, saksi bekata, bekas Gabenor itu mengetahui Najib akan menerima AS$100 juta daripada Arab Saudi selepas beliau memaklumkannya dalam pertemuan empat mata pada awal 2011 lalu.

Tek Kuang, 74, memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau memaklumkan kepada Zeti Akhtar bahawa Najib akan membuka akaun di bank berkenaan bagi menerima masuk wang tersebut.

Perbicaraan bersambung esok.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya