Tiada pertukaran kerusi komponen BN Johor - Hasni -

Tiada pertukaran kerusi komponen BN Johor – Hasni

HASNI MOHAMMAD (empat dari kiri) menghadiri Majlis Penutupan Bengkel Penerangan Puteri UMNO Johor di Savannah Hill Resort.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor dijangka tidak melakukan sebarang pertukaran kerusi dalam kalangan komponennya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, perbincangan juga memutuskan bahawa kerusi Parlimen Simpang Renggam yang dahulunya ditandingi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) diserah kepada UMNO.

“Setakat ini (pertukaran kerusi) tidak berbangkit di Johor, maknanya MCA dan MIC kekal dengan jumlah kerusi ditandingi mereka dalam PRU-14 lalu, iaitu lapan MCA dan satu MIC.

“Satu kerusi ditandingi Gerakan sebelum ini, iaitu Parlimen Simpang Renggam akan diletakkan calon UMNO, menjadikan 17 kerusi akan ditandingi UMNO,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan Bengkel Penerangan Puteri UMNO Johor di Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Puteri UMNO Johor, Norlizah Noh.

Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, calon-calon yang terpilih akan dipanggil dalam masa terdekat untuk diberikan penerangan berkenaan kawasan yang bakal ditandingi mereka.

BN Johor bakal mengumumkan nama kesemua calon dalam satu majlis yang akan diadakan di Ibu pejabat UMNO Johor, 3 November ini.

Terdahulu, beberapa UMNO Bahagian, khususnya Segamat dan Tanjung Piai memohon agar kepemimpinan parti memberi peluang kepada calon mereka bertanding di kerusi berkenaan dan tidak mengikut tradisi seperti sebelum ini.

Ditanya sama ada terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor yang akan dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU 15,  beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor memaklumkan hanya seorang sahaja.

“Berapa ramai ADUN (dicalonkan Parlimen), satu sahaja, saya sahaja dan yang lain tiada. Saya tidak fikir ada di Johor,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya