KALAU bercerita mengenai naga, banyak yang terfikir mengenai kaitannya dengan masyarakat Cina.
Sememangnya haiwan ini juga sangat rapat dengan kehidupan mereka serta menjadi subjek perumpamaan yang positif bagi mereka.
Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian masyarakat Cina, sesiapa yang cemerlang dan berkemampuan luar biasa ditarafkan seumpama naga.
Bagaimanapun, haiwan mitologi ini sebenarnya muncul dalam hampir setiap kebudayaan masyarakat di seluruh dunia seperti masyarakat tamadun Mesir kuno dan Eropah.
Terdapat dua pandangan berbeza tentang naga antara Barat dan Timur.
Jika bersandarkan kepada kebudayaan Barat, naga lebih bersifat ganas, jahat dan mewakili dunia gelap.
Bagaimanapun jika dibandingkan dengan perspektif Timur, naga digambarkan sebagai haiwan suci, penuh keajaiban dan mempunyai kuasa melindungi manusia.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Negara, Mohd. Nasrulamiazam Mohd. Nasir, haiwan ini juga secara realitinya mempunyai 1,001 cerita yang begitu dekat dengan masyarakat nusantara termasuk Malaysia dan Indonesia.
“Kalau kita lihat kerajaan awal di nusantara atau kerajaan Srivijaya, ikon naga diadaptasi sebagai lambang kekuatan mereka.
“Malah, susur galur dalam zaman Kesultanan Melayu juga mempunyai unsur naga yang dipanggil ular Saktimuna. Cerita sejarah permulaan Perak pun ada cerita naga dalam mentera,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Untuk mendapatkan perspektif yang lebih mendalam, Jabatan Muzium Negara mengadakan Pameran Dunia Naga:Mitos dan Legenda bertempat di Galeri 2 bermula 9 Jun lalu sehingga 9 November.
Pameran ini menampilkan artifak bermotifkan naga seperti manuskrip dan pelbagai barangan lain yang mempunyai hubung kait dengan masyarakat nusantara.
Tambah Mohd. Nasrulamiazam, pameran tersebut diadakan untuk menunjukkan kehebatan masyarakat zaman silam terhadap sesuatu hasil kesenian dan teknologi bertemakan naga.
Dalam pada itu, Mohd. Nasrulamiazam berkata, motif naga dalam masyarakat nusantara turut diterjemah kepada bentuk barangan seperti keris, kendi dan pelbagai lagi.
“Sebagai contoh bilah keris naga yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia. Mata keris diukir pada gandek dengan bentuk kepala ular. Badan naga pula ada sesetengahnya mempunyai sisik dan ada yang tidak bersisik mengikut luk pada hujung keris.
“Keris naga ini ada beberapa nama antaranya Naga Sastro, Naga Siluman, Naga Sapta dan Naga Kresna,” jelasnya.
Selain keris, motif naga turut diukir pada perahu dan lanchang yang agak popular pada zaman dahulu.
Dalam pada itu, Mohd. Nasrulamiazam berkata, masyarakat Melayu pada zaman sekarang lebih melihat naga sebagai mitos legenda seperti naga di Tasik Chini.
“Cuma ia bergantung antara percaya atau tidak.Jika dilihat sekalipun, motif naga masih banyak digunakan dalam teknologi terkini seperti permainan video.
“Di samping itu, naga turut diterapkan dalam falsafah. Sebagai contoh dalam filem bertajuk Naga 9. Naga ini mempunyai sifat tersendiri seperti berani, sebab itu kita lihat mengapa haiwan lain tidak digunakan,” ujarnya. – Mingguan Malaysia
Naga dan nusantara: Apa kaitannya?
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 19 Jun 2022, 4:13 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Piala Cabaran: Penang FC jumpa Gergasi Merah di separuh akhir
23 Disember 2024, 10:47 pm
Hukum penggantungan tidak sah, Krishnakumar bakal ambil tindakan susulan
23 Disember 2024, 10:45 pm
Ramai peniaga di Melaka lakukan kesalahan kawalan harga
23 Disember 2024, 10:01 pm