MALAYSIA pernah diberi gelaran The Golden Chersonese atau digelar sebagai Semenanjung Emas oleh seorang ahli Geografi Greek bernama Claudius Ptolemy.
Kajian turut menunjukkan emas di negara ini dilombong sejak dahulu lagi dan sangat rancak sehingga abad ke-17 untuk pelbagai tujuan.
Akan tetapi pada zaman sekarang, jika menyebut pasal emas, ramai yang tidak senang duduk terutama golongan wanita.
Mineral semulajadi ini sebenarnya sangat berguna dan saling berkait rapat dalam kehidupan pelbagai masyarakat di negara ini sejak abad ke-15 lagi sehingga kini.
Jika menyingkap kembali kegunaan emas pada zaman dahulu, bahan mineral ini digunakan sebagai sistem mata wang sebelum ia terus berkembang.
Selepas kedatangan penjajah Inggeris, mata wang perak yang disebut riyal diperkenalkan dengan meletakkannya lebih tinggi daripada mata wang emas.
Selain kegunaan sebagai wang, emas dan kehidupan masyarakat turut berkait rapat termasuk dalam sosio budaya orang Melayu, Cina dan India.
Pengarah Muzium Etnologi Dunia Melayu Jabatan Muzium Malaysia, Nor Hanisah Ahmad berkata, bagi masyarakat Melayu zaman dahulu terutama golongan kaya dan bangsawan, mereka biasanya meletakkan kepingan emas atau duit syiling emas di tiang seri dan tiang utama semasa proses pembinaan rumah.
Katanya, tindakan tersebut dipercayai bagi melindungi rumah dan penghuninya daripada anasir buruk.
“Emas juga dikaitkan dengan penggunaan susuk jarum emas dalam kalangan wanita yang dikatakan mampu menaikkan seri wajah dan daya penarik si pemakai.
“Begitu juga kisah legenda Melayu yang mengaitkan peluru emas dan pantang larang berkaitan ilmu mistik dalam kategori ilmu kebal. Sebagai contoh kisah pahlawan Melayu, Mat Kilau yang dipercayai dikhianati orangnya sendiri apabila badannya cedera akibat ditembusi peluru emas pihak Inggeris,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Apa yang menarik, emas mempunyai nilai tinggi berbanding logam lain dan amat terkenal sepanjang sejarah peradaban manusia.
Selain berhubung kait dengan masyarakat Melayu, emas turut dianggap simbol kekayaan dan kemakmuran bagi masyarakat Cina.
Kata Nor Hanisah, masyarakat Cina percaya masa terbaik untuk membeli emas adalah ketika menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
“Masyarakat Cina juga menghias rumah mereka dengan replika jongkong disebut ‘Yungbao’ disamping membakar kertas emas ‘Kim Cua’ dalam upacara sembahyang dewa-dewi semasa ritual pengkebumian untuk memberi bantuan kepada roh yang berada di alam kematian,” ujarnya.
Bagi masyarakat India pula, Nor Hanisah berkata, penganut Hindu memuliakan arca dewi-dewi mereka dengan menggunakan emas.
Dalam pada itu Nor Hanisah berkata, masyarakat perlu memahami dan mengetahui lebih lanjut berkenaan emas yang bukan sekadar sebagai lambang kemegahan mahu pun kemewahan semata-mata.
“Emas juga mampu menaikkan semangat seseorang dan mempunyai definisi tersendiri. Sebagai contoh dalam dunia sukan. Seseorang atlet yang bertanding secara automatik semuanya mahukan pingat emas.
“Begitu juga dengan ungkapan dan peribahasa, perumpamaan atau bidalan. Ungkapan tersirat yang dituturkan memberi maksud tersurat. Contohnya sentuhan emas, warga emas dan suara emas,” katanya.
Justeru emas perlu dilihat dan difahami dalam konteks mendalam bagi mengetahui nilai sebenar yang mahal harganya, bukan sekadar lambang perhiasan dan kemewahan semata-mata. – Mingguan Malaysia
Emas bukan sekadar mewah
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 5 Jun 2022, 5:25 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Tags: Emas bukan sekadar mewah
BERITA BERKAITAN
Piala Cabaran: Penang FC jumpa Gergasi Merah di separuh akhir
23 Disember 2024, 10:47 pm
Hukum penggantungan tidak sah, Krishnakumar bakal ambil tindakan susulan
23 Disember 2024, 10:45 pm
Ramai peniaga di Melaka lakukan kesalahan kawalan harga
23 Disember 2024, 10:01 pm