Jangan biar Senaman Tua tenggelam dek zaman - Utusan Malaysia

Jangan biar Senaman Tua tenggelam dek zaman

SENAMAN TUA turut menjurus kepada kecepatan dan kekuatan sendiri dengan pergerakan yang diolah serta diberi nama tertentu seperti ‘Bunga Teratai’ ‘Gulung Ekor Naga’ dan ‘Gerak Sembilan’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pasti masih ramai yang tidak mengenali Senaman Tua (ST) terutama bagi generasi muda.
Jika disebut nama senaman atau gerakan yang berkait rapat dengan aktiviti fizikal sekalipun, pasti banyak terbayang tai chi, yoga atau aerobik yang lebih mendapat tempat dan dikenali.
Maka tidak hairanlah mengapa generasi muda di negara ini beranggapan ST sesuatu yang asing pada mereka.
Apa yang paling penting, biarpun pergerakan ST nampak ringkas dan bersahaja, ia hakikatnya mempunyai banyak kelebihan tersendiri serta boleh diamalkan sesiapa sahaja.
Saya sendiri tidak terkecuali untuk turut mencuba beberapa gerakan yang agak sukar dilakukan walaupun nampak mudah.
Pengasas ST, Prof. Azlan Jumat Abdul Ghanie yang berasal dari Pahang berkata, secara asasnya konsep ST mengikut adat Melayu ketika mandi iaitu dengan bermula menjirus kaki terlebih dahulu.
“ST juga mempunyai unsur daripada asas orang Melayu iaitu berdiri, duduk, baring dan bergerak dengan diibaratkan seperti seorang pahlawan berpakaian lengkap,
“Dalam senaman duduk, ia bermula dengan bersila dan kemudian boleh di pelbagai dengan dengan posisi bersimpuh, bertenteng, bercangkung, berlunjur dan sebagainya. Ia juga mengikut tenaga pengajar ST ketika itu,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Azlan Jumat lagi, menerusi pergerakan yang ada, ia secara tidak langsung turut merangkumi kaedah digunakan dalam yoga, tai chi, pilates, aerobik dan anaerobik.
Akan tetapi menurutnya, ST tidak mengambil atau menceduk pergerakan atau falsafah senaman itu kerana mempunyai identiti serta ciri tersendiri.
Dalam pada itu, Azlan Jumat ketika mengimbau kembali bagaimana tercetus dan berkembangnya ST berkata, beliau sering kali jatuh sakit ketika zaman kanak-kanak kerana dilahirkan tidak cukup bulan selain pernah mengalami lumpuh ketika zaman mudanya.
“Saya masih ingat ada satu ketika saya sakit di bahagian siku sebaik habis bermain tenis kerana saiz raket yang besar. Pada masa itu saya berumur 13 tahun.
“Kemudian ayah saya tunjukkan salah satu cara dan gerakan yang ada unsur ST. Alhamdulilah akhirnya saya pulih. Daripada situ, saya mula menerokai dan membuat kajian mengenai ST.
“Dalam tempoh itu juga ada satu ketika saya juga pernah mengalami lumpuh dan alhamdulilah saya turut beransur pulih apabila terus mengamalkan ST,” jelasnya.
Beliau menambah, ST turut menjurus kepada kecepatan dan kekuatan sendiri dengan pergerakan yang diolah serta diberi nama tertentu seperti ‘Bunga Teratai’ ‘Gulung Ekor Naga’ dan ‘Gerak Sembilan’.
“Senaman Gerak Sembilan adalah untuk kekuatan bahu kerana asas kuncian dan jatuhan silat adalah dengan serkah atau cabut pangkal. Gerak Sembilan juga boleh merawat kecederaan di bahu, tengkuk dan pinggang jika dilakukan dengan betul.
“Selain itu, pergerakan dalam senaman berteraskan silat Melayu kerana ia amalan orang Istana untuk bertempur pada zaman dahulu,” jelasnya.
Mengulas berkenaan masa depan bagi mengembangkan senaman ini, Azlan berkata, segala usaha telah dilakukan sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau terpaksa berdepan dengan banyak cabaran dan pelbagai kerenah birokrasi daripada banyak pihak.
“Bayangkan pada tahun 90-an dan awal tahun 2000, ada pihak yang minta agar nama Melayu tidak digunakan dalam pergerakan ST. Mereka mungkin anggap ia rasis.
“Itu belum lagi pihak yang dengki dan cuba menjadi batu penghalang kepada perkembangan ST. Walau apa pun saya sangat bersyukur kepada Allah SWT kerana sehingga kini saya telah mengajar lebih 500,000 orang tentang ST dan ia berkembang ke luar negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, salah seorang pengamal ST dari luar negara, Prof. Richard Peter Bailey memberitahu, dia sendiri dapat merasakan kelainan apabila mula mempelajari senaman ini lebih enam bulan lalu.
Malah dia yang turut meminati senjata tradisional seperti keris berkata, kesihatannya bertambah baik sehingga dapat merasakan ST memberi tenaga semula jadi kepada dirinya. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya