RAMAI yang beranggapan minatnya pelik . Manakan tidak, batu nisan antara bahan ‘buruan’ anak muda yang berasal dari Pulau Pinang ini.
Tidak kurang juga ada yang melihat tindakan tersebut sebagai kerja gila yang tidak memberikan apa-apa manfaat.
Namun tidak bagi Muhammad Tanzilul Furqan Marzuki, 27, dia sememangnya minat terhadap segala bahan berkaitan sejarah termasuk batu nisan.
Malah ketika pertama kali berjumpa dengannya, saya kagum dengan pengetahuan yang begitu mendalam dirinya tentang hal ehwal sejarah kesultanan Melayu di negara ini terutama membabitkan Kedah.
Padanya sejarah mempunyai 1,001 cerita yang perlu dirungkai bagi tatapan generasi masa kini dan dijadikan cermin pandang belakang untuk maju ke hadapan.
Maka tidak hairanlah dia berusaha mencari segala bahan sebagai rujukan dan tinggalan termasuklah batu nisan Aceh.
Katanya, ‘cinta’ dia kepada batu nisan bermula sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kira-kira hampir lapan tahun lalu selepas tertarik dengan seni kaligrafi yang tersimpan pelbagai cerita padanya.
“Segalanya bermula secara tidak sengaja. Pada masa itu saya memang minat sejarah dan secara tidak sengaja terjumpa satu batu nisan di Masjid Jamek Lebuh Acheh di Pulau Pinang. Kubur itu dipercayai milik kerabat Sultan Aceh Darussalam, Tengku Syed Husein Al Aidid.
“Saya kemudian terus memeriksa dan mencari maklumat ‘pemilik’ batu nisan itu dan kemudian mengetahui ia sememangnya milik Almarhum. Bermula daripada itulah saya kemudian terus ‘memburu’ batu nisan yang sering dikaitkan dengan pelbagai cerita mistik dalam kalangan orang kita,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Sebagai rekod, kesenian batu nisan Aceh tersebar dari wilayah Pattani sehingga ke Malaysia, Indonesia, dan Brunei dengan mengandungi beberapa jenis tulisan khat antaranya Samar, Figural, Kufi dan Naskhi.
Difahamkan, sebanyak 400 makam orang Islam ditandakan dengan batu nisan Aceh di negara ini dan yang tertua dijumpai di Sayong Pinang bertarikh 856H (1452-1453M).
Dalam pada itu, Muhammad Tanzilul Furqan atau dikenali sebagai Atan ini berkata, dia telah melawat lebih 30 tapak perkuburan lama di seluruh pelosok negara dan di negara jiran termasuk Thailand serta Indonesia untuk mencari batu nisan Aceh.
Kata Atan, terdapat sekurang-kurangnya tiga tipologi batu nisan Aceh terdapat di seluruh Malaysia iaitu bulat, pipih dan blok.
“Saya belajar berdasarkan beberapa kajian termasuk daripada ahli akademik Prof. Dr. Othman Mohd.Yatim. Kebanyakan batu nisan tulisan Aceh ini telah siap dibuat ketika kemangkatan pembesar, namun ada sesetengah yang ditempah khas sebelum kemangkatan.
“Kaum kerabat pembesar akan menempah batu nisan ketika seseorang itu uzur dan meletakkan dalam stor khas berdasarkan ukiran tersendiri,” jelasnya.
Menurut Atan, sebelum ke tanah perkuburan, dia akan membuat kajian mengikut rujukan daripada masyarakat terutama cerita dalam kalangan penduduk tempatan atau berdasarkan kajian ahli akademik.
Ia penting bagi memastikan bahan dan segala maklumat yang dicari diperoleh tanpa pulang dengan tangan kosong.
Biarpun minat ‘memburu’ batu nisan sering kali dikaitkan dengan pelbagai cerita mistik, dia tidak pernah berhadapan dengan pengalaman menakutkan sebagaimana tanggapan masyarakat sebelum ini.
Apa paling penting baginya adalah nilai sebagai bahan simpanan sejarah untuk tatapan generasi akan datang.
“Saya juga berharap agar batu nisan terutama Aceh ini tidak hanya dilihat sebagai tanda kematian semata-mata, sebaliknya melihat ia sebagai artifak negara dan kewujudan sejarah asal usulnya.
“Malah, ia perlu terus terpelihara daripada musnah begitu sahaja,” jelasnya. – Mingguan Malaysia
Cinta si ‘pemburu’ batu nisan Aceh
- Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
- 22 Mei 2022, 5:21 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Piala Cabaran: Penang FC jumpa Gergasi Merah di separuh akhir
23 Disember 2024, 10:47 pm
Hukum penggantungan tidak sah, Krishnakumar bakal ambil tindakan susulan
23 Disember 2024, 10:45 pm
Ramai peniaga di Melaka lakukan kesalahan kawalan harga
23 Disember 2024, 10:01 pm