Kenapa pandang sepi sukan sunnah? - Utusan Malaysia

Kenapa pandang sepi sukan sunnah?

Pelopor pemanah tradisional, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin, ketika ditemui di Bangsar Park, Kuala Lumpur baru-baru ini - MINGGUAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN memanah tradisional kini berkembang pesat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Boleh dikatakan ada banyak pertandingan dianjurkan sama ada skala kecil atau besar.
Paling membanggakan, sudah muncul nama-nama besar menjuarai kejohanan dunia dan mampu menewaskan juara dari negara yang terlebih dahulu menguasai sukan ini.
Sukan yang mula dikembangkan di negara ini oleh pelopornya, Zaharudin Rastam Yeop Mahidin sejak tahun 90-an ini hakikatnya telah bergerak maju sehingga melahirkan banyak jaguh dan juga kelab ternama.
Namun, persoalannya mengapa sukan sunnah Rasulullah SAW ini masih belum diangkat dan dijadikan sebagai salah satu kokurikulum di sekolah sebagaimana sukan memanah moden? Adakah kerana sukan ini tiada nilai komersial daripada segi pertandingan atau penjualan alatan serta kemudahan?

KELEBIHAN
Kepada Mingguan Malaysia, Zaharudin Rastam atau dikenali sebagai Pak Din berkata, sukan ini hakikatnya mempunyai banyak manfaat terutama mendidik generasi muda pada masa kini.
“Pemanah telah diasuh dalam diri mereka bahawa setiap panahan itu ketetapannya adalah takdir Allah SWT selepas kita berusaha dan berserah. Jadi ia secara tidak langsung memupuk semangat untuk tidak berputus asa termasuk dalam kehidupan.
“Selain itu, sukan ini juga ada adab tertentu seperti jangan langkah busur atau menarik tali busur tanpa anak panah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Malah, dia masih ingat semasa mula-mula belajar gurunya akan pastikan setiap pemanah berwuduk terlebih dahulu dan menutup aurat.
Selain itu, pemanah tidak boleh memperkecilkan kebolehan rakan-rakan.
Jadi, katanya, ia antara adab yang boleh diserap kepada pelajar untuk melahirkan generasi berkualiti.
Bagaimanapun Pak Din berkata, setiap silibus dan adab dalam sukan ini turut bergantung kepada perguruan masing-masing dan ia selaras dengan perkembangan semasa untuk menarik minat ramai.
“Kalau macam sekarang, untuk memudahkan orang belajar, banyak perkara itu yang tidak diikut. Apa pun kita pupuk minat dulu.Perkara lain termasuk adab boleh dimasukkan kemudian menerusi perguruan atau kelab masing-masing,” terangnya.

DISIPLIN
Apa yang menarik, jelas Pak Din, sukan memanah tradisional mempunyai empat disiplin tersendiri dalam satu-satu pertandingan.
“Antaranya adalah sasaran bergerak pemanah berada pada kedudukan statik atau sebaliknya, sasaran dan pemanah bergerak umpama memburu atau pemanah dan sasaran berada pada kedudukan statik.
“Selain keempat-empat disiplin tersebut, sukan memanah berkuda juga adalah sebahagian daripada memanah tradisional.
“Jadi cabang sukan ini luas. Malah, mereka yang memanah secara tradisional juga boleh beralih ke memanah moden,” jelasnya.
Mengenai busur dan anak panah pula, Pak Din memberitahu, kedua-duanya mempunyai pelbagai jenis dan seringkali digunakan dalam sukan ini dengan mengikut negara atau bangsa puak tertentu seperti Turki klasik, Arab, Mongol dan Melayu klasik.
Malah katanya, setiap jenis busur ini turut mempunyai reka bentuk tertentu dengan menggunakan bahan serta kaedah-kaedah tertentu.
“Kalau busur Melayu klasik, ada yang dibuat menggunakan buluh atau kayu. Buat masa ini antara busur popular adalah busur Arab dan Turki. Tidak ketinggalan Korea,” jelasnya.
Bercakap tentang kos menceburi sukan ini, terangnya, dengan hanya bermodalkan RM150, individu yang berminat boleh mendapatkan peralatan asas dan mempelajari asas sukan ini sebelum ke peringkat seterusnya.

HARAPAN
Pak Din memberitahu, dia pernah berusaha mengetengahkan sukan memanah terutama dalam kalangan pelajar sekolah sejak 10 tahun lalu dengan berdasarkan silibus tertentu.
Bagaimanapun, apa yang mengecewakan, ia dipandang sepi sehingga dia nekad untuk mengasas dan bergerak sendiri sukan yang dipelajarinya sejak 1993 itu.
“Saya kini akan memberi fokus kepada pengurusan sukan memanah tradisional di bawah Perguruan Yeop Mahidin. Nama ini diambil daripada bapa saya dan baru didaftarkan tahun lepas,” jelas Pak Din.
Perguruan ini, katanya, ada silibus sendiri dengan tiga peringkat. Peringkat pertama adalah permulaan meliputi asas memanah, senaman regangan dan busana ringkas.
“Kemudian bagi peringkat kedua, pemanah ke latihan lanjutan sehingga mampu membuat Tarkas (tempat simpan anak panah) dan bagi peringkat ketiga, pemanah yang minat untuk memanah berkuda boleh asah bakat mereka ataupun mereka boleh mengajar ilmu ini di tempat sendiri,” jelasnya.
Harapannya hanya satu, mahu mengembangkan sukan ini tanpa mengira lapisan masyarakat. Paling penting mahu menjadikannya salah satu sukan teras di negara ini. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya