TEMERLOH: Generasi muda diingatkan tidak bersikap ‘pesimistik’ terhadap silat milik bangsa sendiri, malah lebih mengagumi seni pertahanan diri dari luar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, sejarah kegemilangan silat yang menjadi amalan pendekar dan hulubalang Melayu harus dibangga generasi muda hari ini.
Menurutnya, silat sebenarnya telah dikenali di peringkat antarabangsa apabila seni pertahanan itu diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan, dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) milik negara ini.
“Oleh itu, generasi muda harus bersikap positif dan menyokong penuh inisiatif perguruan silat bagi mengembangkan silat Melayu tanpa pesimis terhadap usaha murni ini.
“Generasi mudalah mengambil peranan dan tanggungjawab sebagai penerus legasi silat Melayu supaya terus subur dan menjadi benteng barisan ketiga negara,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Kejuaraan Silat Olahraga Jemputan Kebangsaan 2021 Kali ke-3 di Dewan One Touch Futsal Lurah Semantan di sini hari ini.
Juara keseluruhan kategori Dini disandang pesilat Melaka yang memperoleh lapan emas, empat perak dan empat gangsa, kategori Remaja milik Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) dengan lima emas, dua perak dan satu gangsa dan kategori Sukan Malaysia (Sukma) pula disandang Sukma Terengganu (empat emas, enam perak dan lima gangsa).
Pesilat terbaik Dini, Muhammad Haziq Faris Mohd. Herman dari Zura Akademi Fighter Puchong; Pesilat Terbaik Remaja, Nur Ainun Mokhtar (SSMT) dan Pesilat Terbaik Sukma disandang Mohamad Daniel Shokur (Sukma Pahang).
Norolazali dalam pada itu menggesa orang Melayu menghayati falsafah keris bukan sahaja sebagai senjata tetapi juga sebagai lambang persahabatan dan keakraban antarabangsa.
Tegasnya, keris lambang kebudayaan Melayu sejak zaman berzaman harus dipertahankan sebagai lambang kemegahan dan kesetiakawanan dalam persahabatan.
“Orang Melayu yang berbangga dengan kehebatan Hang Tuah yang gagah perkasa, namun, di sebalik itu, ikon Melayu memiliki keistimewaan sebagai diplomat ke negara asing,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Silat Cekak Malaysia (PSCHM), Datuk Osman Nok berbangga silat berjaya menapak dan ‘mengaum’ ke persada dunia hasil promosi dan kejayaan melahirkan pesilat dan jurulatih yang berkualiti.
Menurutnya, dalam tempoh 40 tahun pertubuhan itu telah membentuk dan melahirkan ramai atlet silat olahraga negeri dan negara. -UTUSAN ONLINE