Kerja larik kayu Pak Din pikat hati Sultan, VIP - Utusan Malaysia

Kerja larik kayu Pak Din pikat hati Sultan, VIP

TAJUDDIN Husin menunjukkan teko kayu yang dikilat untuk dipasarkan di bengkelnya di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah baru-baru ini. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA sekadar hobi, seorang warga emas, Tajuddin Husin, 70, kini menjadikan kerja-kerja kreatif melarik kayu menjadi sumber rezeki sejak enam dekad lalu.

Malah, seni melarik kayu itu kini sudah sebati dalam dirinya bak kata pepatah menjadi darah daging dalam kehidupan hariannya.

Bahkan, sentuhan seni larik kayu Tajuddin atau lebih dikenali sebagai Pak Din Larik itu pernah menawan hati Sultan Kedah, Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Ia bermula apabila mangkuk tingkat atau sia (panggilan orang Kedah) dipersembahkan kepada baginda sebagai cenderamata dalam satu majlis awal tahun lepas.

Mangkuk tingkat daripada kayu sena Pak Din itu dikatakan berjaya menawan hati Sultan sekali gus menyuarakan keinginan bertemunya sebelum ini.

Ditemui di rumah yang juga menjadi bengkelnya di Kampung Pokok Machang, Kuala Nerang, Kedah baru-baru ini, Pak Din melicinkan debu pada teko kayu yang dilariknya.

Menurutnya, tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada Mac lalu dipergunakan sepenuh menyiapkan kerja seni itu termasuk teko berkenaan yang dilarik daripada kayu sena.

Selain kayu sena yang terbuang, Pak Din turut melarik daripada kayu mahogany dan kepakarannya melarik produk keperluan rumah.

Pak Din berkata, salah satu alasan dia berpindah dari Asun, Jitra ke kawasan itu adalah untuk memudahkan dia memperoleh kayu berkenaan.

Katanya, kedua-dua kayu tersebut mempunyai tekstur dan corak tersendiri serta menyerlah setelah dilarik dan dikilatkan iaitu proses terakhir dalam penghasilan seni pertukangan kayu itu.

“Kerja melarik memakan masa antara dua hari hingga sebulan bergantung kepada bentuknya. Proses melarik bongkah kayu adalah paling rumit kerana ia memerlukan ketelitian untuk membentuk kayu itu,” ceritanya ditemani isteri, Puan Dan, 67.

SEBAHAGIAN daripada kerja seni larik kayu Pak Din yang berbentuk mangkuk tingkat, teko dan cawan.

Mula melarik pada usia 13 tahun

Pak Din mula melarik pada usia 13 tahun dengan mengambil upah membuat kukur kelapa dan rehal al-Quran yang ditempah jiran-jirannya untuk mendapat wang saku ke sekolah.

“Bapa hanya seorang buruh dengan gaji RM3.30 sehari ketika itu. Jadi untuk membeli barang yang saya suka terpaksalah cari duit sendiri. Memandangkan melarik kepakaran yang ada jadi saya ambil upah buat kukur kelapa,” ceritanya.

Bercerita lanjut kerana kemiskinan keluarga, dia membuat keputusan untuk berhenti sekolah selepas tingkatan lima dan menumpukan perhatian dalam bidang itu.

Walaupun Pak Din sebenarnya tergolong dalam kalangan pelajar berpotensi kerana pernah belajar di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim di Jitra Kubang Pasu pada tahun 60-an.

“Saya melakukan sesuatu yang saya suka dengan ikhlas berpandukan kepada jalan hidup yang ditentukan oleh Maha Berkuasa jadi saya tetap gembira sebagai tukang larik ini.

“Walaupun pendapatan tidak tetap dan tak seberapa saya tetap bersyukur,” katanya.

Pelbagai jenis karya seni larik kayu Pak Din itu dijual dari harga RM50 hingga RM3,500.

ANTARA hasil kerja tangan Pak Din daripada kayu sena yang dijadikan set meja dan kerusi.

Menurut Pak Din, kesungguhan untuk mendalami seni itu walaupun tanpa memasuki mana-mana pusat kemahiran seni menyebabkan dia menguasainya dalam masa singkat.

Hasil kerja larik kayu itulah yang menyokong kehidupannya sekeluarga sejak dulu lagi yang dipasarkan ke kedai kraftangan mahupun daripada tempahan khas.

“Saya banyak mendapat bantuan daripada Kraftangan Cawangan Kedah yang mengetengahkan hasil kerja saya termasuk untuk dijadikan cenderamata,” kata bapa kepada empat anak ini.

Selain sia untuk Sultan Kedah, Pak Din pernah menghasilkan tempayan untuk dihadiahkan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Pak Din mengakui tidak terhitung jumlah produksinya yang juga terdiri daripada teko, cawan, pinggan, congkak, kerusi, meja malah trofi.

Apa sahaja yang diinginkan pelanggan Pak Din pasti akan melariknya dan dia mengakui melarik kayu untuk dijadikan mangkuk tingkat adalah paling rumit.

Menyentuh tentang produksi terbaharu, kata Pak Din, dia berusaha menyiapkan seberapa banyak teko kayu sepanjang tempoh pergerakan yang terhadap akibat Covid-19 ini.

“Saya berharap apabila Covid-19 reda hasil kerja ini boleh saya pamerkan di mana-mana galeri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya