Malaysia pilihan pasangan Ukraine - Utusan Malaysia

Malaysia pilihan pasangan Ukraine

PASANGAN Hanna Peleshok dan Denys Peleshok yang memilih untuk tinggal di Malaysia selepas terpikat dengan keramahan rakyat negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia adalah sebuah negara yang dilimpahi rahmat dan kesenangan dalam pelbagai aspek. Selain kaya dengan makanan, sumber alam semula jadi dan kecantikan landskap kotanya, Malaysia turut dilihat sebagai syurga bagi mereka yang ingin membina sebuah kehidupan baharu dan mencari rezeki.

Bagi membuktikannya, penulis berkesempatan menemu ramah pasangan dari Ukraine di ibu kota baru-baru ini. Hanna Peleshok, 28, anak kelahiran Bandar Zhytomyr, Ukraine ini mengikut suami beliau, Denys Peleshok, 32, berpindah ke Malaysia sejak empat tahun lalu.

“Sebenarnya, saya telah melawat banyak negara memandangkan ketika itu saya mengusahakan beberapa perniagaan di Hong Kong, Shanghai, Tokyo dan kini di Kuala Lumpur. Tetapi, akhirnya, hati saya benar-benar terpaut di Malaysia sehingga ke hari ini,” katanya.

Menurut Denys, salah satu sebab utama adalah mungkin kerana rakyatnya yang sangat peramah, baik hati dan sentiasa tersenyum sekali gus mencipta satu suasana yang positif di seluruh negara.

“Saya juga percaya dengan perkembangan ekonomi Malaysia yang rancak dan Kuala Lumpur terutamanya sebagai hab perniagaan di Asia Tenggara.

“Sejak tujuh tahun lalu apabila kali pertama saya melawat Malaysia, saya dapat memerhatikan betapa pantasnya Kuala Lumpur membangun,” katanya.

Bagaimanapun, bagi Denys, sudah tentu ada pelbagai cabaran dan halangan dalam menjalankan perniagaan di Malaysia dibandingkan dengan Ukraine.

Namun beliau tetap positif kerana baginya, ia bukanlah sesuatu yang sukar sekiranya semua pihak mematuhi segala undang-undang dan tatacara dengan baik.

“Potensi pertumbuhan perniagaan di Malaysia jauh lebih tinggi, apatah lagi dengan rakyatnya yang sangat menyokong terutamanya di Kuala Lumpur yang saya kira sebagai sebuah bandar metropolitan yang gah,” jelasnya.

KEINDAHAN panorama ibu negara memikat sesiapa sahaja yang memandangnya.

Baru-baru ini, media melaporkan isu yang kurang enak berkaitan warga asing di Malaysia yang bermacam-ragam. Bukan sahaja masalah dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bahkan dengan golongan profesional atau expatriates.

“Sejak menetap di Malaysia, saya perhatikan ramai golongan expats yang memandang rendah terhadap warga tempatan dan mengabaikan undang-undang negara,” dakwanya.
Denys telah bermastautin di Malaysia sejak 2018 dan menjalankan pelbagai perniagaan dalam bidang perbankan. Kini beliau mempunyai sebuah salun kecantikan di Kuala Lumpur, Latelle Facial Bar atau dalam instagram latelle.my.

“Saya melihat diri saya sebagai seorang tetamu di sebuah negara yang telah menerima saya dengan baik serta memberi banyak peluang dalam bidang perniagaan, pendidikan dan kebudayaan.

“Oleh sebab itu, saya melihat kita (expats) perlu menghormati warga tempatan termasuklah undang-undang Malaysia,” katanya.

Bercakap tentang keenakan makanan tempatan, Hanna amat menggemari mee mamak, terutamanya apabila mee tersebut dicampur dengan makanan laut dan ayam.

Katanya, sajian itu boleh sedikit pedas kerana ia bukanlah suatu masalah untuknya yang sudah terbiasa dengan makanan tempatan. Selain itu, Char Kuetiau juga makanan kegemarannya.

“Terdapat banyak tempat untuk menikmati makanan yang enak seperti di Jalan Alor, tetapi secara jujurnya, saya tidak boleh mengatakan yang mana satu tempat kegemaran saya,” katanya senyum.

  • Thaqib Shaker, Pengkaji Hubungan Malaysia dan Dunia Luar
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya