ISTANBUL: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan kebimbangan Malaysia berhubung konflik di Gaza ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Zahid berkata, pertemuan itu turut membincangkan perkembangan keselamatan serta geopolitik di Syria dan Lebanon yang terus menuntut perhatian serius daripada masyarakat antarabangsa.
“Saya menyampaikan kebimbangan Malaysia terhadap konflik yang berterusan serta kesannya terhadap kestabilan serantau, keselamatan orang awam dan situasi kemanusiaan di kawasan terjejas.
“Pendirian Malaysia jelas, usaha bagi mencapai keamanan berpanjangan mesti diasaskan kepada penghormatan terhadap kedaulatan negara, undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan.
“Kita tidak boleh berkompromi dalam aspek perlindungan orang awam atau memastikan bantuan sampai kepada pihak yang memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta masyarakat antarabangsa supaya memainkan peranan lebih berkesan dalam meredakan ketegangan, menamatkan penderitaan mangsa konflik serta mengutamakan penyelesaian secara aman menerusi dialog dan diplomasi.
Zahid berkata, beliau menghargai komitmen dan peranan Turkiye dalam memperjuangkan keselamatan serta keadilan di peringkat antarabangsa.
“Saya percaya Malaysia dan Turkiye mempunyai ruang yang luas bagi memperkukuh persefahaman diplomatik dalam menangani isu serantau dan antarabangsa yang membawa implikasi terhadap keamanan serta kestabilan global,” katanya.
Pertemuan 30 minit di Pusat Kongres Istanbul itu diadakan susulan majlis perasmian Forum TRT World 2026.
Zahid berada di Turkiye untuk lawatan kerja selama empat hari atas jemputan Perbadanan Radio dan Televisyen Turkiye (TRT) bagi menghadiri forum terbabit.










