MIRI: Dua kucing peliharaan mati terperangkap manakala seekor lagi berjaya diselamatkan dalam kebakaran bengkel kenderaan di KT Car Lutong, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kakitangan stesen minyak berhampiran bersama orang awam berusaha memadamkan kebakaran itu menggunakan alat pemadam api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Anak Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.18 pagi sebelum lima anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian.
“Api berjaya dikawal jam 3 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.26 pagi.
“Dua kucing peliharaan pemilik bengkel ditemui mati dipercayai akibat terperangkap dalam premis yang dipenuhi asap manakala seekor lagi berjaya diselamatkan,” katanya.
Kejadian itu turut menjadi peringatan mengenai risiko dihadapi haiwan peliharaan ketika kebakaran berlaku.









