Hong Kong kesan modus operandi baharu seludup kokain dari KL - Utusan Malaysia

Hong Kong kesan modus operandi baharu seludup kokain dari KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas dikesan cuba menyeludup kira-kira satu kilogram (kg) dadah kokain yang disorokkan di dalam kasut dipakai.

Kastam Hong Kong dalam kenyataan memaklumkan, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan kastam terhadap penumpang yang baru tiba Rabu lalu.

“Pegawai kastam menemui kira-kira satu kilogram bahan disyaki kokain dalam kasut dipakai lelaki berkenaan sebelum dia ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai HK$600,000 (kira-kira RM311,000) dan siasatan kes masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Tangkapan itu menyusul selepas beberapa kes menggunakan modus operandi sama dikesan.

Pada 16 September lalu, seorang lelaki warga China berusia 29 tahun ditahan di Hong Kong selepas cuba menyeludup satu kilogram kokain disembunyikan di dalam kasutnya sebaik tiba dari Kuala Lumpur.

Kastam Hong Kong turut merekodkan kes sama pada 7 dan 15 Julai lalu, masing-masing membabitkan rampasan kira-kira satu kilogram bahan disyaki kokain daripada penumpang yang tiba dari Kuala Lumpur.

Pada 17 Mei lalu, dua lagi penumpang dari Kuala Lumpur ditahan dalam kes berasingan selepas bahan disyaki kokain seberat 820 gram dan 800 gram ditemukan dalam kasut masing-masing.

Di Jepun, lima rakyat Malaysia yang berlepas dari Kuala Lumpur ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, pada 10 Oktober lalu selepas kira-kira lima kilogram kokain ditemui dalam pelapik kasut mereka.

Modus operandi sama turut dikesan di Indonesia apabila lima rakyat Malaysia yang tiba dari Kuala Lumpur ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada September lalu.

Kira-kira 5.2 kilogram dadah etomidate disembunyikan dalam tapak kasut.

Sementara itu, Kastam Hong Kong mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima tawaran atau arahan pihak lain untuk membawa barangan terkawal masuk atau keluar dari Hong Kong bagi mendapatkan ganjaran wang.

Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah memperuntukkan hukuman maksimum penjara seumur hidup dan denda HK$5 juta (kira-kira RM2.59 juta), jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini