KUCHING: “Kalau spekulasi, tidak perlulah komen,” kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri memberi maklum balas itu ketika ditanya ura-ura beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN13), 12 Disember depan.
Menurut Ahli Parlimen Petra Jaya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, berkata beliau sendiri tidak tahu perkara berkenaan mula diperkatakan dalam kalangan rakyat Sarawak.
Justeru, Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menganggap ia sekadar khabar angin tanpa mengesahkan atau menafikan spekulasi berkenaan.
Spekulasi mengenai kemungkinan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin hangat diperkatakan sejak Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg membayangkan PRN13 mungkin menjadi penyertaan terakhirnya pada pilihan raya negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata, jentera pilihan raya Gabungan Parti Sarawak (GPS), termasuk PBB sudah bersiap sedia menghadapi PRN13 dengan persiapan logistik serta gerak kerja disusun sejak awal.
Katanya, persiapan itu membabitkan semua parti komponen GPS yang akan bekerjasama rapat bagi memastikan kelancaran gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.
Beliau berkata, pilihan raya kali ini adalah proses demokrasi yang memberi peluang kepada rakyat menentukan parti yang akan diberi mandat untuk mentadbir Sarawak bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Kerja sebenarnya kita laksanakan sepanjang waktu. Daripada pilihan raya yang lepas, kita sudah mula bekerja, jadi inilah proses demokrasi yang memerlukan kita mengadakan pilihan raya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Gelanggang Futsal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Turut hadir, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak.
Fadillah berkata, penyelarasan gerak kerja termasuk aspek logistik dan operasi sudah disusun atur serta dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau berkata, PBB sebagai parti tunjang GPS akan membantu semua parti komponen sepanjang tempoh kempen.
Mengenai tempoh berkempen selama 14 hari yang ditetapkan, Fadillah berkata, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Kita sebagai parti menghormati apa juga keputusan SPR termasuk tempoh berkempen. Yang penting kita perlu bersedia. Jika 14 hari, kita bersedialah untuk 14 hari. Jika 10 hari, kita bekerja untuk tempoh 10 hari,” katanya.











