Ahli parlimen, ADUN antara gagal bayar caruman Perkeso pekerja - Utusan Malaysia

Ahli parlimen, ADUN antara gagal bayar caruman Perkeso pekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 598 individu berprofil tinggi termasuk kenamaan berstatus Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikesan gagal membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja domestik masing-masing.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, jumlah itu sebahagian daripada 10,033 majikan pekerja domestik yang dikenal pasti belum memenuhi kewajipan berkenaan berdasarkan semakan setakat 1 November lalu.

Katanya, Perkeso turut mengesan 26,669 majikan mempunyai rekod tunggakan caruman yang memerlukan semakan dan tindakan susulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di sini saya ingin tegaskan bahawa kedudukan, pangkat, pengaruh atau status seseorang bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai majikan. Undang-undang terpakai kepada semua tanpa pengecualian.

“Kita tidak boleh bercakap mengenai kebajikan dan hak pekerja sekiranya tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri pun masih gagal kita tunaikan.

“Kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan pematuhan kepada undang-undang.

“Oleh itu, saya sudah mengarahkan PERKESO supaya tidak berkompromi dalam memperkukuh usaha pemantauan dan penguatkuasaan, termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap majikan yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Faedah Perkeso kepada waris mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh di Nepal, di sini hari ini.

Katanya, pekerja domestik bukan hanya merujuk pembantu rumah, sebaliknya turut merangkumi tukang kebun, pemandu, penjaga warga emas dan pengasuh yang memainkan peranan penting dalam sesebuah isi rumah.

Ditanya sama ada orang kenamaan itu membabitkan menteri, Ramanan berkata ia lebih daripada itu.

“Lebih tinggi daripada menteri pun ada. Saya bukan nak mainkan isu ini, tetapi ini adalah hak pekerja,” katanya.

Tambahnya, sekiranya tiada tindakan lanjut sehingga 7 Disember ini, Ramanan berkata semua nama yang terbabit akan didedahkan kepada umum.

“Saya hanya mahu mereka ini bayar caruman. Jadi 7 Disember ini adalah tarikh akhir, selepas ini kita akan laksanakan tindakan undang-undang.

“Ia akan dimulakan dengan kompaun, kemudian mereka boleh didenda RM10,000 atau dikenakan penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini