PADANG BESAR: Penyertaan seramai 284 peserta dalam The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2026 membuktikan potensi kawasan itu sebagai destinasi utama pemerhatian burung dan ekopelancongan biodiversiti di Malaysia.
Jumlah penyertaan bagi edisi ketiga itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding sekitar 100 peserta sebelum ini sekali gus mencerminkan sambutan semakin menggalakkan terhadap aktiviti berasaskan alam semula jadi.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani berkata, perkembangan itu membuktikan program berteraskan pemuliharaan biodiversiti berupaya menarik minat masyarakat.
Katanya, keunikan landskap hutan Wang Kelian serta kedudukannya di sempadan Malaysia-Thailand memberikan kelebihan untuk diketengahkan sebagai destinasi pemerhatian burung yang berdaya saing.
“Program ini bukan sahaja memperkenalkan kepelbagaian spesies burung dan keindahan alam semula jadi, malah memperkukuh imej Perlis sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.
“Penganjurannya juga menjadi platform strategik untuk mempererat kerjasama Malaysia-Thailand dalam perkongsian pengetahuan, pendidikan konservasi dan pemuliharaan biodiversiti rentas sempadan,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup The Northernmost International Bird Race Wang Kelian 2026 di sini kelmarin yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, rekod ekspedisi saintifik dan inventori jabatan dari 2022 hingga 2025 menunjukkan sebanyak 172 spesies burung dikenal pasti di Wang Kelian.
Menurutnya, angka itu tidak termasuk pemerhatian persendirian sekali gus menunjukkan kekayaan biodiversiti kawasan berkenaan berpotensi diterokai lebih meluas.
Katanya, peningkatan penemuan spesies oleh peserta tahun ini turut mencerminkan kemajuan pengetahuan masyarakat dalam pengecaman burung serta kepentingan pemuliharaan.
Jabatan Perhutanan negeri juga merancang menerbitkan buku Bird of Perlis Volume 2 bagi mendokumentasikan kepelbagaian spesies burung di Taman Negeri Perlis.-UTUSAN.











