SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM41.72 juta daripada lima syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.
Lembaga Tabung Haji (TH) diwakili Pengerusi, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, mendahului senarai syarikat pembayar zakat dengan menyerahkan RM27.01 juta, sekali gus menjadi penyumbang zakat korporat terbesar kepada Zakat Selangor tahun ini.
Kemudian diikuti oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Digital & Maklumat TNB, Azlan Ahmad mewakili Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Shamsul Ahmad bagi menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM5,597,000.

Manakala Kumpulan Kewangan Islam Maybank menyerahkan RM4.22 juta menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Islam merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Mohamad Yasin Abdullah.
Sementara itu, Bank Rakyat yang diwakili oleh Pengerusi, Datuk Mohd. Irwjjan Mohd. Mubarak menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.38 juta dan Rural Capital Sdn Bhd mewakilkan Pengerusinya, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor, menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.51 juta.
Kesemua bayaran zakat perniagaan berkenaan adalah bagi haul 2025.
Turut hadir dalam upacara itu ialah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin; Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail; Timbalan Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Ambrin Buang serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Selangor, Mohd. Khaidzir Shahari. – UTUSAN











