PN belum bincang ambil bahagian PRN Sarawak

PN belum bincang ambil bahagian PRN Sarawak

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) belum membincangkan apa-apa perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak susulan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg (Abang Johari Tun Openg) semalam.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hal itu kerana, pengumuman berkenaan berlaku secara agak mengejut sungguhpun telah dijangka.

Katanya, PN kini memberi tumpuan kepada PRN Melaka tetapi akan membincangkan perkara berkaitan PRN Sarawak dalam masa terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita belum bincang lagi berkenaan Sarawak sebab hari ini baru buat pengumuman dan agak mengejut. Mungkin kita akan bincang dalam waktu terdekat.

“Fokus kami kini adalah PRN Melaka. Jadi belum ada apa-apa (berkenaan PRN Sarawak),” katanya pada sidang media selepas Himpunan dan Munajat Penyatuan Ummah (Himpak) Sempena Karnival Rakyat 36 Tahun Membangun Bersama Islam (MBI) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, sebenarnya pengumuman pembubaran DUN Sarawak sudah boleh diagak sejak beberapa hari lalu tetapi kebanyakannya masih dalam keadaan antara percaya dan tidak.

Katanya, PN bagaimanapun sentiasa mempunyai calon dan bersedia pada bila-bila masa untuk sebarang pilihan raya, namun persoalan lebih penting adalah sama ada parti itu mahu menyertai PRN Sarawak atau sebaliknya.

“”Kita bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi pilihan raya, cuma sama ada kita nak masuk atau tidak sahaja. Maknanya kalau kita putuskan nak masuk pilihan raya di mana-mana negeri, calon sentiasa ada.

“Tetapi dalam konteks Sarawak ini, kita belum putuskan lagi mahu ambil bahagian atau tidak. Macam di Sabah kita putuskan untuk masuk pilihan raya dan kita menang satu kerusi,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 26 Oktober ini bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRN ke-13 pada sidang akhbar khas di Kompleks Satria Pertiwi, Petra Jaya, Kuching, Sarawak semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini