ROMPIN: Kerajaan Pahang digesa memastikan perkhidmatan feri ke Pulau Tioman di sini ditambah baik dan berjalan lancar demi memelihara industri pelancongan serta kesejahteraan rakyat di pulau peranginan berkenaan.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan negeri perlu bersedia menyediakan perkhidmatan feri yang berkualiti meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan atau subsidi yang besar.
Titah baginda, tindakan itu penting demi memberi khidmat terbaik kepada masyarakat setempat serta pengusaha perniagaan di Pulau Tioman dan kawasan sekitarnya.
”Saya nyatakan tadi kepada Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) supaya kalau boleh, sediakan feri yang mampu membawa pelancong dan masyarakat ke Pulau Tioman secara berhemah.
”Mungkin kerajaan terpaksa mengeluarkan sumbangan yang besar, tetapi ini adalah untuk memberi perkhidmatan kepada mereka yang mempunyai perniagaan di Pulau Tioman.
”Kadangkala sebagai kerajaan, kita tidak boleh memikirkan tentang keuntungan semata-mata, sebaliknya memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat kita,” titah baginda ketika berkenan merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas Rompin di Pantai Hiburan di sini hari ini.
Isu perkhidmatan feri ke Pulau Tioman mendapat perhatian selepas berlaku kenaikan harga tiket sebanyak dua kali dalam tempoh setahun, selain masalah kelewatan feri yang sering berlaku sehingga membimbangkan pelbagai pihak.
Awal tahun ini, harga tiket feri pergi-balik bagi pelancong tempatan ditawarkan pada kadar RM90, sebelum melonjak kepada RM120 dan terbaharu mencecah RM150.
Ketika ini, kadar tambang sehala dari Jeti Teluk Gading ke Pulau Tioman adalah RM75 bagi warganegara dewasa dan RM90 bagi warga asing dewasa, manakala penduduk tempatan Pulau Tioman dikenakan tambang RM45.
Seorang pelancong tempatan, Mohd. Asyraf Mohammad Razif, 35, mengakui serik dan kecewa apabila terpaksa menunggu sehingga lapan jam akibat kelewatan feri semasa bercuti bersama empat ahli keluarganya.
Pemilik Salang Resort, Abdul Khalid Mohamad berkata, masalah perkhidmatan feri yang tidak menentu menjejaskan sektor pelancongan pulau berkenaan apabila ada pelancong bertindak membatalkan tempahan chalet. – UTUSAN











