Malaysia kecam serangan ke atas Lapangan Terbang Riyadh

Malaysia kecam serangan ke atas Lapangan Terbang Riyadh

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi yang mengorbankan nyawa orang awam dan menyebabkan ratusan lagi cedera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam tidak boleh diterima serta tidak mempunyai sebarang justifikasi.

Menurutnya, tindakan yang membahayakan nyawa orang tidak berdosa hanya akan memburukkan lagi penderitaan akibat konflik yang sedang berlaku, selain menyebabkan kesannya merebak ke kawasan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tiada sebarang justifikasi bagi serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam.

“Tindakan yang membahayakan nyawa orang tidak berdosa hanya akan menambahkan penderitaan akibat konflik ini dan membawa kesannya ke tempat yang sepatutnya tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan mereka yang cedera supaya segera sembuh.

Beliau berkata, Malaysia berdiri teguh bersama Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya dalam menghadapi situasi genting itu.

“Malaysia menyatakan solidariti bersama Kerajaan Arab Saudi dan rakyatnya pada saat yang genting ini.

“Kami tetap berharap diplomasi dan pertimbangan rasional akan mengatasi konflik ini sebelum ia terus merebak,” katanya.

Setakat ini, Wisma Putra memaklumkan tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden berkenaan.

Serangan peluru berpandu petang semalam itu telah mengorbankan 12 orang dan mencederakan 309 yang lain, termasuk beberapa mangsa dilaporkan kritikal.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA), mangsa terkorban terdiri empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.

Serangan turut menyebabkan kerosakan harta benda di lapangan terbang berkenaan, manakala mangsa yang cedera menerima rawatan di beberapa hospital.

Operasi lapangan terbang terbabit turut digantung sementara susulan serangan itu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan keselamatan dan menilai kerosakan.

Menurut laporan Reuters, kumpulan Houthi dari Yaman mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan yang menyaksikan lapangan terbang itu menjadi sasaran buat kali ketiga dalam tempoh seminggu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini