TANAH MERAH: Seorang anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan parah dilibas lelaki positif dadah dengan sebilah parang semasa Ops Tapis Bersepadu Sempadan di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pukul 1.35 petang itu, anggota terbabit retak tulang tangan kiri selepas terkena libasan parang oleh suspek.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, semasa serbuan dilakukan di sebuah rumah suspek berusia lingkungan 30 tahun telah bertindak melarikan diri sebelum dikejar anggota bertugas.
Katanya, suspek melarikan diri sambil memegang sebilah parang telah bertindak agresif semasa cuba ditahan oleh anggota bertugas.
“Semasa cuba ditangkap suspek telah bertindak melibas senjata itu ke arah polis sehingga mencederakan anggota berkenaan.
“Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya telah merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil yaba dan sebotol cecair disyaki air ketum.
Katanya, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai enam rekod kesalahan berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Mohd. Yusoff berkata, operasi berkenaan dilaksanakan JSJN Kelantan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dari empat daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.
Katanya, ia bertujuan mengekang kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di sempadan Malaysia-Thailand.
“Kita (Polis) tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas,” katanya.-UTUSAN











