SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan bertemu dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPNS) seawal esok bagi membincangkan langkah keselamatan susulan masalah jerebu di negeri ini yang dilaporkan semakin buruk.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang mendapatkan laporan indeks pencemaran udara (IPU) terkini sebelum sebarang keputusan dibuat secara bersama.
“Bagaimanapun, kita (kerajaan) memang sudah ada piawaian bagi langkah keselamatan ketika jerebu, iaitu jika bacaan IPU melebihi 200, akan tutup sekolah. Namun, itu bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri.
“Saya sudah meminta supaya dimaklumkan segera dan kerajaan negeri juga boleh aturkan (tindakan sokongan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 38 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan IPU pada tahap tidak sihat setakat 9.44 pagi tadi, berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Data APIMS pada 8 Oktober 2026 menunjukkan bacaan di Selangor, Johan Setia merekodkan IPU 178, manakala Shah Alam mencatat 170, Banting (167), Klang (166), Petaling Jaya (165) dan Kuala Selangor (155).
Sementara itu, bacaan di Putrajaya berada pada paras 173, manakala Cheras dan Batu Muda di Kuala Lumpur masing-masing merekodkan IPU 172 dan 168.
Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar semua sekolah di negeri ini ditutup susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang sedang berlaku di semua daerah, negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, penutupan itu ditetapkan buat dua hari, iaitu pada hari ini dan esok.
Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan perkembangan fenomena El-Nino di Selangor apabila kesemua empangan air berada pada tahap stabil dan mampu membekalkan air antara tiga hingga sembilan bulan.
“Pertengahan bulan ini akan berlaku peralihan monsun, jadi akan bermulalah musim hujan. Sedikit sebanyak yang lebih mendebarkan sebenarnya adalah pada sekitar bulan Februari hingga April tahun depan sebab fenomena ‘Super El-Nino akan berpanjangan hingga April
“Jadi tempoh itu adalah masa permulaan musim panas dan disitulah kemungkinan kita akan berdepan cuaca kekurangan hujan sekarang mungkin cuaca panas tetapi jumlah taburan hujan turun tinggi. Jadi tempoh itu perlu lebih pemerhatian dan penelitian,” ujarnya. – UTUSAN











