Dua suspek ditahan, lima batang kabel curi dirampas

Dua suspek ditahan, lima batang kabel curi dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan selepas cuba melarikan diri dengan kereta yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel di Taman Sri Watan, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 5.53 pagi semalam mengenai kejadian disyaki mencuri kabel di Jalan Watan 4.

“Susulan maklumat itu, anggota Mobile Patrol Vehicle (MPV) yang bertugas diarahkan ke lokasi untuk menjalankan tindakan awal,” katanya dalam kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, anggota polis mengesan sebuah kereta Perodua Aruz berwarna biru tanpa nombor pendaftaran di persimpangan Jalan Watan 8.

“Anggota polis kemudian cuba menahan kenderaan terbabit namun ia dipandu laju ke Jalan Watan 10. 

“Dalam kejadian itu, kenderaan yang dipandu salah seorang suspek terbabas ke dalam longkang berhampiran padang bola sepak Taman Sri Watan,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek lelaki yang berada di dalam kenderaan itu cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap anggota polis yang bertugas.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan menemukan lima batang kabel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut,” katanya.

Jelasnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas rasmi yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan kabel pula memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan kerana melakukan sabotaj, yang membawa hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana merosakkan, mengusik atau mengganggu kemudahan rangkaian telekomunikasi yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM500,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang, memberi kerjasama kepada polis serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kejadian mencurigakan diminta menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini