KULIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan mengulas dakwaan bahawa etnik Rohingya memasuki Malaysia menggunakan pasport Bangladesh sebelum memperoleh kad pelarian di negara ini.
Beliau berkata, sebarang dakwaan terhadap perkara terbabit perlu disokong dengan bukti yang kukuh dan jelas sebelum dapat diberikan maklum balas.
“Saya tidak mahu memberi respons kepada khabar angin atau dakwaan. Kalau ada hujah yang kuat dan bukti yang jelas, barulah saya boleh memberi respons. Setakat ini, perkara itu tidak ada dalam pengetahuan saya,” katanya selepas Wacana Nasional Surah al-Hujurat di sini, semalam.
Beliau diminta mengulas dakwaan warga Rohingya dikatakan memasuki Malaysia menggunakan pasport Bangladesh sebelum mendaftar sebagai pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Baru-baru ini, seorang pencipta kandungan memuat naik video tinjauannya ketika berada di Bangladesh yang memaparkan dakwaan seorang lelaki etnik Rohingya menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar dan masuk ke Malaysia.
Dalam temu bual itu, lelaki terbabit mendakwa dia pada awalnya berada di Malaysia tanpa pasport atau dokumen perjalanan yang sah sebelum mendapatkan pasport Bangladesh melalui bantuan kedutaan dan pihak imigresen.
Dia turut mendakwa urusan mendapatkan dokumen itu dibantu ibu bapanya yang menetap di Bangladesh.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan berhubung dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, mengasari dua anggota polis.
Beliau berkata, kertas siasatan mengandungi keterangan saksi serta bukti lain yang dikumpulkan sepanjang proses siasatan sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Itu prosedur siasatan biasa. Pada tahap ini, tidak ada ulasan daripada pihak saya melainkan saya serahkan kepada pihak berkenaan,” katanya.
Kelmarin, AGC dilaporkan telah memulangkan kertas siasatan berhubung insiden membabitkan Mohd. Shuhaily kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, beberapa aspek siasatan perlu diteliti dan dilengkapkan sebelum sebarang tindakan lanjut dimuktamadkan.-UTUSAN











