JOHOR BAHRU: Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) disaran dinaikkan lagi bagi memastikan golongan B40 dan berpendapatan rendah tidak terus terbeban dengan kos sara hidup semasa.
Aktivis masyarakat, Michael Tay Chee Boon, berkata walaupun Belanjawan itu disifatkan sebagai satu langkah yang baik dan melegakan, fokus khusus terhadap agihan bantuan tunai bulanan perlu terus ditambah baik dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, barang keperluan asas seperti beras dan minyak masak memerlukan liputan subsidi berterusan kerana ia adalah keperluan harian yang paling memberi kesan kepada rakyat.
“Kita menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, semalam dan menghormati pengumuman berkenaan.
“Bagaimanapun, dari segi pelaksanaan, kadar bantuan tunai seperti SARA atau STR, saya berpendapat ia masih boleh ditambah nilai. Golongan berpendapatan rendah memerlukan sokongan perbelanjaan bulanan yang lebih kukuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Michael berkata, selain bantuan bekalan makanan utama, subsidi bagi kemudahan asas seperti bil air dan elektrik juga wajar diberi perhatian supaya kos utiliti rumah setiap rakyat tidak membebankan mereka.
Beliau berkata, bantuan belanjawan juga perlu dipastikan sampai secara saksama kepada golongan rentan lain yang memerlukan sokongan berterusan.
“Ibu bapa warga emas, golongan orang kurang upaya (OKU) serta komuniti petani dan nelayan adalah kelompok yang sentiasa terdedah kepada turun naik ekonomi semasa.
“Bantuan khusus dan bersasar kepada mereka berupaya meringankan beban kewangan harian secara nyata,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2027, peruntukan STR ditingkatkan kepada RM16 billion, berbanding RM15 bilion dan semua penerima STR akan menerima SARA sehingga RM150 sebulan atau sehingga RM1,800 setahun dengan 9 juta penerima mendapat manfaatnya.
Selain itu, 13 juta rakyat berusia 18 tahun ke atas termasuk golongan M40 menerima SARA RM100 sebelum Hari Raya Aidilfitri dan menjelang Hari Kebangsaan.











