AI lemahkan keupayaan mendalami ilmu - Zambry

AI lemahkan keupayaan mendalami ilmu – Zambry

AI
ZAMBRY Abdul Kadir menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-17 di Klang, hari ini. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kebergantungan terhadap teknologi itu dikhuatiri melemahkan kemahiran dan keupayaan mendalami sesuatu ilmu secara serius.

Teknologi tersebut membangkitkan perubahan besar dalam dunia pendidikan apabila ia dikatakan mampu melaksanakan tugas yang sebelum ini memerlukan pemikiran dan usaha manusia.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, menerusi AI mahasiswa generasi baharu boleh mencari dan menyampaikan maklumat, membantu memikirkan persoalan, menyelesaikan permasalahan dan menjawab pelbagai persoalan akademik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, apabila semua proses tersebut diserahkan kepada AI, manusia semakin kehilangan kesungguhan untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.

“Hari ini pelajar-pelajar kita sudah tidak lagi menganggap profesor sebagai sumber utama ilmu mereka. Mereka mempunyai guru baharu yang mereka panggil ‘Guru ChatGPT.

“Iaitu zaman yang mana maklumat semakin banyak, tetapi kebijaksanaan tidak semestinya bertambah. Pendidikan semakin berkembang, tetapi pemikiran kritis semakin terpinggir. Teknologi semakin canggih, tetapi nilai kemanusiaan sering tercabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-17 di sini, hari ini.

Malah, beliau turut memetik penulisan oleh James Marriott dalam buku The New Dark Ages yang menyentuh kewujudan kelompok baharu dilabel sebagai ‘post-literate society’.

“Bukan kerana mereka tidak mempunyai akses kepada ilmu dan maklumat, tetapi tidak lagi mampu mendalami ilmu disebabkan oleh kewujudan AI, AI generatif dan lain-lain yang mampu bertindak memikir, menyelesaikan permasalahan yang ada.

“Sehinggakan dari segi keseriusan untuk kita benar-benar mendalami sesuatu ilmu itu sudah tidak nampak lagi pada masa akan datang,” jelasnya.

Justeru Zambry menyeru institusi akademi dan para ilmuan supaya kembali menilai ilmu dan tanggungjawab kepada masyarakat.

Apakah kita mampu sebenarnya membentuk dan menghasilkan ilmu baharu? Ya, mungkin kita mempunyai pelbagai penyelidikan, kita mengajar pelbagai teori dan kita ada banyak ‘citations’.

Tetapi kita harus bersama-sama berfikir bagaimana dapat meneruskan agenda untuk melahirkan masyarakat yang terangkum dalam Falsafah Pendidikan Tinggi untuk menggapai di langit dan mengakar ke bumi. Itulah cabaran besar kepada kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini