KANGAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin, 36, atau lebih dikenali sebagai ustaz Husam untuk membela diri atas pertuduhan menggunakan gelaran dan kehormatan yang tidak diiktiraf.
Hakim Sesyen, Syarifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan tersebut selepas mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.
Mahkamah turut memberi tiga pilihan kepada tertuduh sama ada mahu memberi keterangan bersumpah di dalam kandang saksi yang membolehkannya disoal balas oleh pihak pendakwaan; memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.
Ahmad Husam memilih pilihan pertama memberi keterangan bersumpah dalam kandang saksi.
Peguam tertuduh, Datuk N. Sivananthan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil seramai empat saksi bagi memberi keterangan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali. Mahkamah seterusnya menetapkan 17 dan 18 Disember depan sebagai tarikh bagi prosiding perbicaraan membela diri.
Pada September 2024, Ahmad Husam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan gelaran dan kehormatan yang tidak diiktiraf.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Yang Dipertua Negeri Melaka.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar pukul 11.30 pagi pada 4 Mei 2023.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dibawah Seksyen 4A (3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21) yang dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787).
Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum dibawah Seksyen 4A (6) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21).











