KOTA BHARU: Kaedah pemilihan calon bagi cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara sedang diteliti oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, ia susulan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung perkara itu sudah dibentangkan dan melalui proses sewajarnya termasuk di peringkat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Jika isu tentang calon, kita sedang meneliti satu peruntukan berkaitan dengan calon itu. Bagaimana kaedah-kaedah calon itu dipilih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penyerahan Kampung Angkat Madani Jabatan Peguam Negara di Kampung Kok Lanas, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) akan bermesyuarat semula selepas menerima pandangan Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata AGC diberikan tempoh dua minggu untuk memperincikan maklum balasnya.
Pada 3 Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, yang bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, dirujuk kepada PSSC.
Di bawah kerangka yang dicadangkan, Pendakwa Raya akan menyelia semua pendakwaan jenayah, manakala Peguam Negara berperanan sebagai penasihat undang-undang kerajaan bagi perkara selain undang-undang jenayah.
Pendakwa Raya akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut budi bicara baginda atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Cadangan itu berbeza daripada aturan semasa, yang menyaksikan Peguam Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.-UTUSAN











