KUANTAN: Sudah lebih tiga tahun kebun kelapa sawit peneroka Felda Bukit Kuantan di sini, ‘diserang’ sekumpulan gajah liar, namun masalah itu seolah-olah tiada kesudahan hingga menimbulkan kerugian besar kepada penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Kuantan, Bakaruddin Daud, 65, berkata, lebih 40 ekor gajah menceroboh 30 kebun peneroka sehingga menyebabkan lebih 3,000 pokok kelapa sawit musnah.
“Dulu gajah masuk setahun sekali, tapi sejak tiga tahun kebelakangan ini, serangan semakin kerap. Kami minta kerajaan ambil tindakan segera untuk selesaikan masalah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, mandur Felda Plantation Sdn. Bhd., Kamsan Shariff, 76, pula berkata, pergerakan gajah berkenaan dipercayai berpusing di kawasan Felda sekitar daerah ini termasuk Felda Cherul, Sagu 7, Bukit Sagu dan Bukit Kuantan.
“Biasanya kalau masuk pun sekitar lima ke enam bulan sekali. Tapi sekarang seolah-olah (gajah) sudah ‘menetap’ di sini,” katanya.
Bagi peneroka, Mohd. Taha, 80, kerugian akibat serangan itu bukan sahaja melibatkan kehilangan hasil malah kos penggantian pokok.
“Satu pokok kelapa sawit bernilai kira-kira RM23, ditambah upah tanam RM7 dan kos baja RM40, jadi satu pokok hampir RM70. Bayangkan kalau ratusan pokok musnah,” katanya.
Sementara itu, penduduk mendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pernah memaklumkan untuk memasang pagar elektrik sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun kata mereka sehingga kini ia belum dilaksanakan.
Mereka turut meluahkan kebimbangan haiwan liar itu memasuki kawasan kampung dan mengancam keselamatan penduduk jika tiada tindakan segera diambil pihak berwajib.-UTUSAN.