KUALA SELANGOR: Tertekan pedal minyak punca seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dinding kaca sebuah bank di pekan Tanjong Karang di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu menyebabkan lelaki berusia 57 tahun yang memandu Toyota Innova cedera di tangan dan lutut.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata,
pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat orang awam pukul 9 malam.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa cuba memberhentikan MPV itu di petak parkir kawasan bank berkenaan.
“Namun, dia tertekan pedal minyak hingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan. MPV dipandu mangsa itu terbabas melanggar dinding kaca bank tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Azaharudin, tiada kecederaan serius dilaporkan dan mangsa kemudian menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seskyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan,” ujarnya.
Terdahulu, kejadian itu tular dalam media sosial menerusi beberapa video dan gambar yang mengejutkan penduduk setempat. – UTUSAN