Tebang pokok durian: DAP perlu henti hipokrasi politik, hormat undang-undang - Jasri - Utusan Malaysia

Tebang pokok durian: DAP perlu henti hipokrasi politik, hormat undang-undang – Jasri

JASRI JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui pada Selasa lalu yang menuduh kononnya kerajaan negeri melanggar perintah mahkamah dalam operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian haram di Sungai Klau, Raub didakwa mengelirukan, tidak bersandarkan fakta sahih dan berunsur manipulasi politik semata-mata.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin mendakwa, kenyataan Penasihat Save Musang King Alliance (Samka) itu mencerminkan satu lagi episod hipokrasi DAP yang semakin terserlah berpura-pura membela rakyat, namun hakikatnya memecah-belahkan pentadbiran negeri dan merosakkan kewibawaan sistem perundangan negara.

“Berdasarkan penjelasan rasmi Penasihat Undang-Undang Pahang, tiada sebarang pelanggaran perintah mahkamah berlaku. Permohonan semakan kehakiman oleh pihak yang meneroka tanah tersebut sudah ditolak Mahkamah Tinggi Kuantan. Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan penangguhan dengan menyatakan bahawa prosedur permohonan tidak mengikut peruntukan Seksyen 43 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Justeru, cubaan untuk menggambarkan kononnya wujud perintah larangan terhadap penguatkuasaan adalah satu bentuk pembohongan terang-terangan yang mempermainkan sentimen rakyat dan memperlekeh integriti sistem kehakiman negara.

“Tanah yang diterokai secara haram adalah milik sah kerajaan negeri. Sebarang tindakan untuk mengusir penceroboh dan memulihkan kawasan tersebut adalah selaras dengan lunas undang-undang termasuk di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dan Akta Perhutanan Negara 1984,” dakwanya dalam kenyataan di sini.

Jasri berkata, sebagai pembangkang yang konstruktif, beliau tetap komited untuk menegur kelemahan pentadbiran kerajaan, namun dalam hal ini, tindakan penguatkuasaan wajar disokong kerana ia selari dengan prinsip keadilan, kedaulatan tanah dan pemeliharaan alam sekitar yang perlu dijaga demi generasi akan datang.

“Jika DAP benar-benar tidak bersetuju dengan dasar kerajaan negeri yang dijalankan mengikut lunas undang-undang, maka mereka sewajarnya berani dan bermaruah untuk berundur daripada kerajaan, bukan menabur persepsi buruk demi kelangsungan politik sempit.

“DAP tidak boleh terus bersandiwara menjadi jaguh rakyat di Raub, tetapi dalam masa yang sama menjadi pendukung dasar di Putrajaya. Sikap talam dua muka ini hanya merosakkan kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan secara keseluruhan,” dakwanya.

Beliau menyeru semua pihak tidak terpengaruh dengan naratif yang berasaskan sentimen emosi semata-mata.

“Negara ini dibina atas asas keluhuran Perlembagaan dan prinsip undang-undang. Maka, tindakan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tidak boleh dikompromi hanya kerana tekanan politik atau simpati terpilih.

“Pencerobohan tetap pencerobohan, biarpun di label atas nama mata pencarian. Undang-undang tidak boleh tunduk kepada sentimen politik,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN