SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan pakar pelbagai bidang pada minggu depan bagi mencari penyelesaian untuk mengurangkan impak terhadap peningkatan 24 peratus tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan tarif itu akan memberi kesan kepada ekonomi negara, namun optimis dengan kemampuan Malaysia kerana angkanya tidak sebesar berbanding negara lain.
“Selaku Pengerusi ASEAN (Kepengerusian ASEAN Malaysia), saya rasa kita juga bertanggungjawab mempertimbangkan untuk sahabat-sahabat negara jiran yang terkesan. Jadi, saya nampak hal itu.
“Kita juga ada solidariti dengan negara-negara lain. Saya percaya semalam Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan hal itu untuk kebaikan dan kemaslahatan bersama negara-negara ASEAN,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri akan mengambil langkah susulan selepas perbincangan tersebut supaya ia tidak menjejaskan produktiviti khususnya dalam sektor perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Malaysia tidak akan bertindak balas terhadap Amerika Syarikat (AS) ekoran tarif baharu sebanyak 24 peratus yang dikenakan kepada beberapa sektor ekonomi dari negara ini.
Sebaliknya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan mencari jalan penyelesaian bagi mencapai situasi menang-menang antara kedua-dua negara.
Menurutnya, kerajaan akan kekal tenang dan tegas, di samping mempertahankan kepentingan strategik negara serta mendapatkan resolusi yang menguntungkan kedua-dua negara.
Kata Amirudin, industri semi konduktor yang sedang dikembangkan di Selangor tidak akan mengalami kesan berikutan ia dikecualikan daripada dikenakan tarif tersebut sekali gus menunjukkan petanda positif bagi ekonomi negeri dan negara dalam sektor berkenaan.
“Kesan itu memberi impak kepada rakyat AS sendiri . Contohnya apabila tarif resiprokal dikenakan, China mengenakan tarif yang sepadan, sebahagian peralatan (elektronik) datang dari negara itu dan ia juga akan dikenakan peningkatan cukai yang besar kepada pengguna.
“Pengguna itu rakyat AS sendiri. Tetapi saya akan lihat secara menyeluruh. Alhamdulillah, semi konduktor tidak termasuk dalam 24 peratus tarif baharu oleh AS,” jelasnya. – UTUSAN