Sultan Pahang titah perkemas sistem penyampaian kerajaan negeri - Utusan Malaysia

Sultan Pahang titah perkemas sistem penyampaian kerajaan negeri

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan surat cara pengisytiharan pelantikan Setiausaha Kerajaan Pahang kepada Nazri Abu Bakar di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang. FOTO SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri dititahkan supaya memperkemaskan dan memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kerajaan negeri perlu bergerak ke hadapan dengan sistem pentadbiran efisien, tersusun dan responsif bukan semata-mata memenuhi prosedur, tetapi menjawab keperluan sebenar rakyat.

Titah baginda, ini kerana rakyat menilai kerajaan bukan berdasarkan kepada kata-kata tetapi tindakan, penyelesaian dan hasil kerja.

“Saya juga mengambil maklum akan suara rakyat, pemaju dan pelabur yang melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan dalam proses kelulusan projek serta permohonan tanah yang sering terhalang oleh karenah birokrasi yang panjang.

“Maka saya mahu perkara ini dikaji dengan serius dan ditangani dengan segera. Birokrasi yang cermat adalah penting tetapi birokrasi yang membelenggu adalah beban yang harus dileraikan.

“Pahang tidak boleh bergerak maju jika kita masih terikat dengan sistem lapuk yang melemahkan daya saing. Oleh itu saya ingin melihat satu perubahan yang drastik dalam pendekatan pentadbiran kali ini daripada menunggu kepada mendahului, daripada beralasan kepada menyelesaikan dan daripada melindungi kelemahan kepada memperjuangkan penambahbaikan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Pengurniaan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan Ikrar Taat Setia Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Nazri Abu Bakar dan Pegawai Kewangan Pahang, Datuk Fadzilla Salleh di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah kepada Nazri atas pelantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang dan Fadzilla sebagai Pegawai Kewangan Pahang baharu.

“Pelantikan ini bukan sahaja satu penghormatan tetapi juga satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan tanggungjawab,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN