Sultan Pahang bangga prestasi PKNP bebas hutang - Utusan Malaysia

Sultan Pahang bangga prestasi PKNP bebas hutang

AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) ketika berangkat ke Rumah Terbuka Aidilfitri PKNP di perkarangan Kompleks Teruntum di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga dengan prestasi Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang kini tiada lagi hutang dengan institusi perbankan.

Baginda bertitah, PKNP menunjukkan prestasi menakjubkan melibatkan kemajuan serta kejayaan melangsaikan hutang mengikut jadual.

“Prestasi yang cukup menakjubkan. Jadi teruskan dan tingkatkan prestasi baik daripada atas sampai ke bawah supaya dapat urus tadbir setiap agensi khususnya PKNP dengan sebaik mungkin.

“Lama tak dengar berita PKNP maju dan tak ada hutang. Selalunya banyak agensi ni banyak hutang, tapi alhamdulillah saya dimaklumkan di Pahang ini kebanyakkan agensi tidak banyak hutang. Kita begitu banggalah dengan prestasi,” titah baginda ketika menyantuni pengunjung Rumah Terbuka Aidilfitri PKNP di perkarangan Kompleks Teruntum.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Datuk Mohd. Faizal Jaafar berkata, agensi itu berjaya menyelesaikan hutang RM220 juta kepada pihak bank mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sebelum ini PKNP ada mempunyai hutang dengan institusi perbankan atau bank tetapi telah pun kita selesaikan pada dua tahun lalu.

“Kita sudah selesaikan segmen terakhir kita dengan CIMB Bank sebanyak RM60 juta daripada keseluruhan baki sewaktu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjadi Menteri Besar pada 2018, lebih kurang ada RM220 juta.

“Sekarang ini kita ada sikit sahaja (hutang) dengan kerajaan negeri, lebih kurang RM7 juta dan insya-Allah kita boleh selesaikan pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan harapan untuk PKNP bergerak maju pada masa hadapan memandangkan agensi tersebut kini sudah bebas daripada belenggu hutang.

“Mudah-mudahan selepas ini PKNP akan bergerak maju sebab selepas ini apa sahaja kita buat, kita buat perniagaan, kita buat keuntungan, duit itu kita akan dapat simpan untuk simpanan kita dan seterusnya bergerak ke hadapan.

“Dalam 20 tahun lalu kita berada dalam hutang, jadi tak boleh bergerak sangat, sekarang ini masa untuk kita bergerak bila hutang itu dah tak ada. Lebih bebas sebab kita dah tak ada komitmen yang perlu dibayar setiap bulan, kepada pihak bank terutamanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN