IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa sangat dukacita apabila politik kebencian dan perkara mengenai agama dan kaum semakin disensasikan, semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama.
Baginda bertitah, masih terdengar pahat berbunyi susulan pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliaman di Kuala Lumpur untuk membolehkan sebuah masjid dibina.
Titah baginda, meskipun kekusutan yang berlarutan lebih 10 tahun berjaya dirungkai melalui persefahaman yang dicapai secara rundingan antara pihak-pihak yang terlibat, masih ada pihak tertentu, memilih untuk terus dijadikan bahan sensasi yang dipolemikkan, diperdebatkan dan dipolitikkan ke peringkat menjentik emosi yang meresahkan rakyat.
Titah Sultan Nazrin, ada kalanya perkara kecil dan setempat berkaitan agama dan kaum, dipilih untuk dieksploitasi sehingga berpotensi mencetuskan letupan besar.
“Perkara mengenai agama dan kaum, semakin disensasikan-semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama, meskipun berpotensi mencetuskan kemarahan dan rasa permusuhan sesama warga.
“Kita sedang berhadapan cabaran mencari serapah ajaib, resepi berkesan untuk mengendalikan secara adil, saksama dan berkesan, perselisihan dalam masyarakat yang pelbagai; kita masih meraba dalam kesamaran mencari formula untuk memahamkan pelbagai pihak, agar lebih rasional, bersedia melihat melalui lensa penyatuan dan perpaduan, berasaskan nilai-nilai kemanusiaan yang menghargai keharmonian.
“Sangat mendukacitakan politik kebencian dijadikan pilihan dan dikhuatiri negara bakal menghadapi warga yang tidak lagi bersatu malah membenci dan memusuhi antara satu sama lain,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak di sini semalam.
Sultan Nazrin bertitah, negara ini semakin disemai benih-benih kebencian secara keterlaluan hingga terhakisnya kompas moral dan gugurnya empati apabila berurusan dengan pihak yang tidak sekata.
“Kelihatan semakin subur budaya fitnah semakin sarat budaya yang merestui perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah lawan politik, dan semakin luntur nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan sehingga kebenaran bagaikan tiada lagi mempunyai nilai dan harga,” titah baginda lagi.-UTUSAN.