KANGAR: Prestasi atlet di negeri akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang penetapan pingat dibuat bagi menghadapi saingan Sukan Malaysia (Sukma) ke-22 di Selangor, pada tahun hadapan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, sasaran itu bagaimanapun akan melebihi jumlah kutipan pingat diraih kontinjen negeri ini pada temasya Sukma Sarawak 2024 lalu.
Beliau berkata, buat masa ini, tuan rumah Selangor juga masih belum menetapkan sukan-sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukma di sana nanti.
“Saya harap atlet akan berusaha untuk capai pingat melebihi daripada apa yang kita raih dalam Sukma Sarawak 2024 lalu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis Tahun 2024 Dan Pelancaran Logo Rasmi Baharu Majlis Sukan Negeri (MSN) di Dewan Warisan, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Pada Sukma Sarawak 2024 lalu, Perlis berjaya membuktikan kemampuan dengan merekodkan pencapaian membanggakan apabila meraih 12 pingat emas, 15 perak dan 16 gangsa.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kerajaan negeri juga sentiasa memantau fasiliti sukan di Perlis dalam meningkatkan lagi kemudahan buat para atlet.
“Jika kita ada fasiliti hebat maka ia dapat membantu dalam meningkatkan lagi prestasi atlet,” katanya.
Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd. Shukri berkata, sejumlah RM13,500 telah dibelanjakan kepada pemenang pertandingan mencipta logo, para atlet, pasukan dan individu yang menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun lalu.
Tambahnya, pelancaran logo MSN baharu itu juga adalah bersesuaian dengan perubahan landskap agensi awam dalam memenuhi cita rasa golongan muda zaman kini.
“Saya rasa ini adalah satu titik permulaan ke arah meningkatkan lagi prestasi dan semangat atlet untuk capai kejayaan lebih besar tahun ini,” katanya.-UTUSAN