Suami isteri jana pendapatan RM5,000 sebulan jual laksam

Suami isteri jana pendapatan RM5,000 sebulan jual laksam

TUAN Mohd. Ruzlan Tuan Zainal Abidin (kiri) dan Nor Hayati Ab Manaf menunjukkan laksam lemak yang dijual mereka di Kampung Kubang Siam, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Bermula secara kecil-kecilan lebih dua dekad lalu, sepasang suami isteri dari Kampung Kubang Siam kini meraih pendapatan lumayan kira-kira RM5,000 sebulan hasil jualan laksam lemak yang kekal bersama keaslian rasa tradisional.

Tuan Mohd. Ruzlan Tuan Zainal Abidin, 49, dan isterinya, Nor Hayati Ab Manaf, 48, memulakan perniagaan dengan menjual makanan tradisi itu di kedai-kedai kampung sebelum menerima tempahan pelanggan secara langsung.

Setiap hari, sebanyak 100 bungkus laksam dihantar ke tiga buah kedai berhampiran dengan harga RM4 sebungkus, dan lazimnya habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja.

Menurut Tuan Mohd. Ruz­lan, laksam lemaknya kekal dimasak secara tradisional menggunakan adunan tepung beras yang dikukus di dalam pinggan atau penutup periuk bagi menghasilkan gulungan nipis berbentuk bulat.

“Kuah lemak pula dimasak sepenuhnya menggunakan ikan dan santan segar yang diperah sendiri. Ia dimasak selama 15 hingga 20 minit sehingga pekat dan beraroma,” katanya ketika ditemui semalam.

Menambah keunikan rasa, hidangan tersebut turut disertakan ulam-ulaman kampung seperti pucuk serai kayu, bunga kantan, kacang panjang dan ulam-ulam tempatan lain yang segar.

Beliau berkata, laksam lemak bukan sekadar menjadi hidangan sarapan atau makan tengah hari, malah turut mendapat permintaan tinggi untuk majlis seperti kenduri, jamuan korporat dan acara keluarga.

“Walaupun zaman berubah, rasa asli laksam tetap digemari, malah pelanggan kami datang dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang,” ujarnya.

Kejayaan pasangan ini membuktikan bahawa ketekunan dan kesetiaan kepada resipi warisan mampu menjana pendapatan tetap serta membuka ruang niaga berdaya saing meskipun bermula dari dapur sendiri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya