SPK tidak boleh bataskan peranan Perdana Menteri dalam pilih hakim

SPK tidak boleh bataskan peranan Perdana Menteri dalam pilih hakim

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pe­lan­tikan Kehakiman (SPK) tidak boleh mengehadkan peranan Perdana Menteri dalam pemilihan hakim seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, Perlembagaan dengan jelas memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk melantik hakim atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan tidak meletakkan SPK sebagai badan yang mengikat kuasa tersebut.

Menurut beliau, SPK tidak dinyatakan dalam Perkara 122 (b) Perlembagaan Persekutuan, yang menjadi asas kepada pelantikan hakim di mahkamah atasan negara.

“Perlembagaan jelas menyebut pelantikan hakim dibuat oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja. Sekiranya pe­ranan SPK dilihat mengikat Perdana Menteri, maka itu sudah bercanggah dengan roh dan semangat Perlembagaan,” katanya di sini semalam.

Beliau turut merujuk kepada Perkara 122(3) yang menyatakan pelantikan Ketua Hakim Negara oleh YDPA hendaklah selepas mempertimbangkan pandangan Perdana Menteri dan Majlis Raja-Raja.

“Kita tidak boleh mengenepikan hakikat bahawa Malaysia ialah sebuah Persekutuan yang didirikan berasaskan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Oleh itu, proses rundingan antara YDPA, Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri adalah elemen penting yang mesti dikekalkan,” kata­nya.

Baru-baru ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, tiada mana-mana pihak selain SPK dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim di mahkamah atasan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan hakim, yang dibaca bersama prosedur tambahan dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).

Katanya, tiada individu, sama ada Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, mana-mana peguam atau peguamcara, parti politik, Peguam Negara atau mana-mana individu lain yang berhak mencadangkan nama kepada Perdana Menteri untuk pelantikan.

Wan Ahmad Fauzi berkata, jika dilihat daripada sejarah pemilihan Ketua Hakim Negara dan Hakim Mahkamah Agung (kini Persekutuan), terdapat proses perundi­ngan antara Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Semestinya Perdana Menteri perlu meraikan pandangan Majlis Raja-Raja kerana Malaysia ialah sebuah Persekutuan yang didirikan oleh kedaulatan Raja-Raja dan kedudukan itu masih kekal sehingga hari ini.

“Proses pada hari ini adalah berbeza dengan peruntukan Perlembagaan ketika ia digubal pada tahun 1957.

“SPK tidak boleh membataskan kuasa Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara dalam proses pemilihan hakim kerana peranannya tidak lagi disebut dalam Perkara 122 dan 122b Perlembagaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika pindaan ingin diberikan pertimbangan tentang proses pemilihan hakim seperti yang disarankan oleh Ketua Hakim Negara, ada baiknya proses yang ditetapkan dalam peruntukan asal Perlembagaan dijadikan asas.

Ini kerana katanya, ia lebih dekat dengan kehendak “the ma­ker” Perlembagaan Perseku­tuan 1957 iaitu raja-raja Melayu bagi pihak negeri Melayu dan Kerajaan British bagi pihak Negeri Selat setelah mengambil kira panda­ngan Jawatankuasa Kerja Perlembagaan yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu.

“Cadangan Suruhanjaya yang bebas untuk menasihati YDPA bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah dibangkitkan oleh Raja-Raja Melayu dalam Memorandum bertarikh 12 September 1956 yang menggariskan dasar bagi pembentukan Persekutuan Tanah Melayu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya