PETALING JAYA: Perebutan bagi jawatan Naib Presiden PKR bertambah menarik apabila Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin turut mempertimbang untuk mencalonkan dirinya bagi jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu kelak.
Kata beliau, pertimbangan itu mengambil kira pengalaman politiknya selama 26 tahun termasuk memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri.
“Pemilihan kali ini menyerlahkan ramai pemimpin muda berkaliber yang ingin membawa parti ke hadapan. Saya rasakan ia persaingan yang sangat sihat, sebab itu saya membuat pertimbangan untuk bertanding jawatan Naib Presiden.
“Ini kali pertama saya membuat pertimbangan untuk berada pada tahap lebih tinggi di peringkat Pusat selepas menjadi wakil rakyat selama beberapa penggal sehingga kini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau memberitahu, akan membuat keputusan mengenai hasratnya itu dalam masa terdekat.
“Saya sudah mempunyai pengalaman dalam beberapa jawatan, jadi saya fikirkan ini masa yang sesuai untuk membawa idea-idea baharu ke dalam pati serta memperjuangkan isu-isu rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Wilayah, Datuk Azman Abidin turut disebut-sebut akan menawarkan diri bagi jawatan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan akan membuat keputusan selepas mendapat ‘restu’ daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Insya-Allah penyertaan saya di peringkat Pemilihan Pusat adalah untuk meraikan demokrasi parti selain menjadi penggerak politik khidmat bagi menguatkan akar umbi PKR di seluruh negara,” katanya.
Sebelum ini, lapan pemimpin telah menyatakan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu tidak lama lagi termasuklah dalam kalangan penyandang jawatan tersebut.
Mereka ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli; Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut menyatakan hasrat serupa, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan; bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr. N. Sathia Prakash.-UTUSAN.