JERANTUT: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta rakyat menjadi ‘mata dan telinga’ kepada baginda berhubung pencerobohan tanah di negeri ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, apabila kerap mendengar isu pencerobohan tanah, baginda mula ‘naik darah’ serta memohon rakyat supaya bersama bertanggungjawab menjaga negeri ini.
“Oleh itu jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang untuk mengelakkan berlaku lagi pencerobohan tanah di negeri ini.
“Sampailah masa kita bertegas tidak mahu berlaku lagi pencerobohan kawasan tanah dan hutan negeri ini dan perlu diselesaikan dengan cara yang baik. Saya pun sudah naik darah bila mengetahui ada orang menceroboh tanah negeri Pahang,” titah Al-Sultan Abdullah sempena keberangkatan baginda bertemu penduduk di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini.
Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Baginda berdua juga turut berkenan memberikan kurnia kepada kanak-kanak dan menyantuni kira-kira 800 orang pelbagai lapisan rakyat Kampung Bantal, Kampung Gusai, Kampung Bantal Seberang dan Kampung Bukit Mat Daling termasuk tetamu yang hadir.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua ke Kampung Bantal selama tiga hari itu untuk bertemu rakyat kampung tradisional di kawasan berkenaan sempena majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).
Selepas santapan jamuan hari raya, baginda bertiga turut menaiki bot penambang menyantuni masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Kuching seterusnya mengikuti aktiviti yang dijadualkan bersama rakyat di kawasan Ulu Tembeling selama tiga hari. – UTUSAN