PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman di sini sekitar pukul 8.25 pagi tadi bagi menghadiri prosiding keputusan rayuan membabitkan dirinya.
Syed Saddiq, 32, tampil kemas dengan sut berwarna hitam, hadir ditemani pegawainya.
Turut kelihatan ibu dan abangnya, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman.
“Saya meletakkan nasib saya di tangan Allah S.W.T. dan sistem kehakiman serta perundangan negara yang saya hormati dan amati.” katanya ringkas sebelum melangkah masuk ke Mahkamah Rayuan pagi ini bagi mendengar keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berkaitan empat pertuduhan melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Menurutnya, sumbangan dan jasa Perdana Menteri kelima itu dalam memartabatkan sistem perundangan negara wajar dikenang dan dihargai.
“Sebagai seorang ahli politik muda, saya hanya mampu mengimpikan dan berharap untuk memiliki hati nurani serta integriti seperti yang dimiliki oleh Allahyarham Tun Abdullah,” ujarnya.
Syed Saddiq, 32, merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana berkenaan.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Rayuan pada 20 Mac lalu menangguhkan ke 17 April ini bagi menyambung hujahan pendakwaan dalam rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagi mengetepikan sabitan empat tuduhan berkaitan dana Armada yang dihadapinya.
Pada pendengaran 19 dan 20 Mac lalu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, selesai mendengar hujahan peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Selain itu, para petugas media turut berada di pekarangan Mahkamah Rayuan sejak jam 7.45 pagi bagi mengikuti perkembangan keputusan kes berkenaan. – UTUSAN