SUBANG JAYA: Memasuki seminggu tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights, rata-rata mangsa menuntut penyelesaian segera daripada pihak kerajaan.
Hasil tinjauan Utusan Malaysia mendapati mangsa tidak mahu lagi dibelenggu persoalan sampai bilakah mereka perlu menginap di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Masjid Putra Heights.
Seorang mangsa, Halimah Mohamed, 59, berkata, dia mahu kerajaan mengumumkan bantuan pembaikan rumah segera supaya dapat tinggal semula di kediamannya di Kampung Kuala Sungai Baru yang terjejas akibat insiden letupan itu.
“Rumah yang dibina menggunakan hasil duit pencen dan simpanan suami. Akibat tragedi itu, rumah kami hangus dan langsung tiada apa-apa aset yang tinggal.
“Anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM900,000 termasuk perhiasan dalaman dan kelengkapan lain. Kalau diberi peluang, saya mahu bina rumah di tanah yang sama.
“Saya harap kerajaan dapat membela nasib penduduk dan kami mahu mengetahui pihak yang perlu bertanggungjawab atas tragedi ini,” luahnya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Nur Hasrina Nordin, 39, berkata, selepas membuat penilaian, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan anggaran kerosakan kediamannya di kampung sama mencecah RM200,000.
Suri rumah sepenuh masa yang menetap di kampung itu hampir empat dekad memberitahu dia mahu membina semula kediaman di tapak sama sekiranya mendapat pampasan.
“Sejak lahir saya tinggal di kampung ini, terlalu banyak kenangan bersama ahli keluarga lain. Saya mahu membesarkan anak-anak di sini,” luahnya.
Sementara itu, Sahrunizam Salleh, 49, berkata, dia mahu berpindah segera dari PPS kerana banyak urusan lain yang perlu diselesaikan.
“Saya tidak tahu sampai bila perlu hidup seperti ini lagi. Sebagai ketua keluarga, saya perlu mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak.
“Akibat kejadian itu, lori milik syarikat terbakar dan tidak dapat digunakan lagi. Saya mengalami kerugian dalam anggaran RM160,000,” kongsinya.
Bagi Mohd Azmi, 48, dia tidak mahu lagi berteka-teki dengan punca kejadian kerana sudah lama menyedari kehadiran sebuah jengkaut di lokasi letupan.
“Kami mahu siasatan segera dilakukan agar penduduk mengetahui jawapan sebenar kejadian itu.
“Disebabkan kejadian ini, saya tidak boleh bekerja dan memandu lori kerana mengalami kecederaan melecur pada lengan tangan,” katanya.-UTUSAN.